Home » Persuasif » Kenali Siapa Anda

Kenali Siapa Anda

akalcergasSiapakah anda? Jawapan kepada soalan ini ada pada anda. Dari aspek apa pun, anda berhak memperkatakan tentang diri anda. Orang lain juga boleh memberi jawapan kepada soalan itu, namun percayalah bahawa jawapan itu tidak dapat menerangkan diri anda yang sebenar kerana jawapan daripada orang lain adalah penilaian mata dan hati semata-mata. Hanya anda yang tahu buruk baik diri anda. Segala apa yang berlaku di sekeliling anda memerlukan kebijaksanaan anda sendiri untuk menilai, mentafsir, dan seterusnya membuat keputusan.

Sebenarnya tidak sukar untuk mengenali diri anda sendiri. Anda juga tidak memerlukan pakar untuk membantu anda. Cukuplah sekadar mengenali diri anda sebaiknya. Sebagai contoh, jika anda seorang yang tidak banyak bercakap dan tidak suka pada kebisingan, bermakna anda seorang yang pendiam. Jika anda gemar membasuh pakaian dan mengemas persekitaran anda setiap hari, maka anda adalah seorang yang pembersih dan rajin. Begitu juga jika anda seorang yang suka berbual dan menyapa orang lain. Itu bermakna anda seorang yang peramah.

Adalah tidak wajar jika anda sibuk menudingkan jari kepada orang lain di atas segala masalah yang wujud dalam masyarakat pada hari ini. Setiap hari mata anda dipamerkan dengan adegan-adegan dan perilaku masyarakat yang tidak bermoral. Setiap waktu telinga anda didendangkan dengan segala macam suara sumbang, fitnah dan bunyi-bunyi yang tidak mendatangkan manfaat. Setiap masa mulut anda akan sibuk berkata itu ini tanpa mengira perasaan dan sensitiviti orang lain. Semua itu berlaku selagi anda mempunyai kelebihan melihat, mendengar, merasa, menyentuh, dan menghidu. Bagaimanapun, kelebihan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t tidak digunakan sewajarnya dan sebaiknya.

Sebenarnya segala masalah yang melingkari hidup anda amat mudah diselesaikan jika anda menggunakan cara yang tepat dan betul. Memang benar pepatah ada mengatakan “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”. Bagaimanapun, jika anda melapangkan dada dan cuba kenali diri dengan sebaiknya, segala masalah akan selesai dengan mudah dan mengikut acuan diri anda. Percayalah, setiap masalah yang datang adalah ujian dari Allah s.w.t dan anda diberi pilihan untuk menyelesaikannya atau membiarkan masalah itu berlalu begitu sahaja.

Allah s.w.t menciptakan manusia sebagai satu mahkluk yang paling utama dan mulia di alam ini. Sebagai bukti atau lambang kemahabijaksanaan Allah dalam semua aspek, Allah memuliakan mereka dengan diberinya “akal”. Manakala pemberian ini tidaklah sama antara satu sama lain, baik kekuatan berfikir atau memahami, daya ingatan (hafalan), dan lain-lain.

DEFINISI AKAL

Definisi “akal” menurut al-Ghazali, mempunyai dua pengertian:

1. Akal itu adalah mengetahui hakikat segala sesuatu. Dalam hubungan ini akal merupakan sifat ilmu yang terdapat dalam perbendaharaan hati.

2. Akal itu ialah alat untuk menangkap dan mendapatkan segala maklumat. Dalam hubungan ini akal itu ialah hati itu sendiri yang merupakan hakikat manusia.

Berdasarkan definisi ini, Prof. Hj. Mokhtar Yahya dalam bukunya ”Pertumbuhan Akal dan Memanfaatkan Naluri Kanak-Kanak” , beliau menulis:

“Akal itu ialah suatu sifat daripada ciri-ciri jiwa (hati). Dengan adanya akal itu, jiwa (hati) dapat mengetahui dan mengenal sesuatu yang ma’qul (yang dapat difikiri) dan ‘mahsus’ (yang dapat dikesan oleh pancaindera).”

Al-Maawardi pula membuat pembahagian kepada akal di mana dari satu seginya akal itu bertempat di hati kerana hati itu adalah sebagai lombong kepada kehidupan manusia dan dia merupakan bahan atau alat untuk merasakan (perasaan).

Bagi Muhammad Taqiyyul Mudarrisi, akal ialah ‘nur’ yang membolehkan manusia membezakan antara jalan yang lurus dengan jalan yang menyimpang, kebaikan dengan kejahatan kemungkinan dengan kemustahilan, dan yang benar dengan yang palsu. Menurut Fairuzabadi, akal itu ialah nur rohani yang boleh mendapatkan bahan-bahan ilmu

Jadi, akal itu adalah pencapai ilmu pengetahuan. Pengetahuan adalah ibarat daripada hakikat segala sesuatu yang terletak di hati. Setiap pengetahuan itu pula adalah mempunyai satu hakikat atau kenyataan dan kenyataan itu mempunyai gambar yang tercetak jelas dalam cermin hati.Tugas kita adalah memperjelas atau menggilapkan cermin itu dengan sejelas-jelasnya supaya kenyataan atau hakikat segala sesuatu itu adalah jelas kepada kita.

Akal menurut pengertian Islam bukanlah semata-mata akal yang boleh menyelesaikan masalah-masalah ilmiah tetapi juga lebih daripada itu ialah akal yang boleh menimbangkan antara perkara yang baik dengan yang buruk, antara yang benar dengan yang palsu dan akal itu tunduk pula kepada wahyu Ilahi.

Dari sini kita dapat mengukur kekuatan atau ketinggian seseorang itu adalah berdasarkan kepada kesanggupannya untuk memahami sumber ilmu yang sebenarnya iaitu al-Quran dan hadis dan kesanggupannya untuk mengikuti wahyu dan tatasusila keagamaan. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Tiadalah beragama orang yang tidak berakal dan tiadalah berakal orang yang tiada beragama.”

Malah ada orang berpendapat bahawa agama seseorang itu adalah mengikut akalnya, bagaimana kedudukan akalnya maka begitulah kedudukan agamanya.

Menurut Imam al-Ghazali dan al-Maawardi akal itu terbagi kepada dua:

1. Akal Gharizi
Iaitu akal atau ilmu yang diperolehi secara semula jadi sejak anak-anak dalam masa menuju perkembangan.

2. Akal Muktasab
Iaitu akal atau ilmu yang diperoleh dengan cara berusaha atau belajar dengan menggunakan pengalaman orang dahulu dan percubaan sendiri.

Selain itu, kita perlu menyedari cara manusia memperoleh ilmu pengetahuan itu pula adalah berlainan antara satu golongan dengan golongan yang lain berdasarkan kurniaan Allah dan persiapan-persiapan yang disediakan Allah dalam diri manusia yang berkaitan, iaitu:

(i) Golongan Anbia dan Rasul
Golongan ini mempunyai sifat-sifat rohani dan jasmani yang sempurna di mana mereka memperoleh ilmu dengan cara wahyu atau berita dari Allah s.w.t.

(ii) Golongan Aulia (para wali)
Golongan ini memperoleh ilmu dengan cara mendapat ilham atau ‘laduni’, iaitu ilmu yang didapat tanpa belajar tetapi mestilah juga berusaha paling kurang mempunyai ilmu-ilmu asas sebagai persiapan; sebab ilham tidak akan datang merupai sesuatu ilmu baru, yang belum pernah dikenali asasnya.

(iii) Golongan Ulama dan Cendekiawan
Golongan ini memperoleh ilmu adalah dengan cara biasa iaitu dengan cara belajar menggunakan pengalaman atau pengkajian orang lain dan juga percubaan sendiri.

Jadi, akal itu adalah pencapai ilmu pengetahuan. Setiap pengetahuan itu pula adalah mempunyai satu hakikat atau kenyataan dan kenyataan itu mempunyai gambar yang tercetak jelas dalam cermin hati. Tugas kita adalah memperjelas atau menggilapkan cermin itu dengan sejelas-jelasnya supaya kenyataan atau hakikat segala sesuatu itu adalah jelas kepada kita.

Allah adalah sumber ilmu, manakala kitabNya pula sumber nur dan ilmu pengetahuan. Di dalam al-Quran Allah berfirman:

“Allah mengurniakan hikmat (rahsia ilmu) kepada siapa yang dikehendakiNya; dan siapa yang dikurniakan hikmat maka sungguh dia telah diberikan kebajikan yang banyak; dan tiadalah yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang berfikir.” (Al Baqarah: 269)

Ilmu seringkali dikaitkan dengan akal. Manusia yang berakal akan menggunakan sepenuhnya ilmu yang ada untuk menangani segala permasalahan atau rutin hariannya. Gunakanlah akal, ilmu dan kemahiran yang ada disertai dengan sikap yang baik untuk penyelesaian segala masalah. Walau bagaimanapun, segala masalah itu adalah ujian dari Allah s.w.t, dan sudah pastilah segala jalan penyelesaian harus berlandaskan iman dan taqwa.

Sumber : Zalila Isa

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *