KUALA LUMPUR 22 Nov. – Bahagian Kepimpinan Muda (Kemuda) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), berjaya melaksanakan enam siri Kem Daie Muda Matrik (KDMM 5.0) yang merupakan siri kelima program berkenaan setelah tiga tahun hasil kerjasama dengan Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pengurus Eksekutif Bahagian Kemuda, Zaman Karulani berkata, program berkenaan yang diadakan mengikut zon telah melibatkan kesemua 17 kolej matrikulasi dan melibatkan penyertaan lebih 650 pelajar bermula 19 hingga 21 November.
“Program ini bertujuan melahirkan pendakwah muda yang beridealisme Islam dan berjiwa dakwah di samping memperkenalkan Sahabat YADIM sebagai salah satu platform dakwah di institusi pengajian tinggi,’’ katanya.
Lokasi program KDMM 5.0 meliputi Kem PLKN Damai Park Resort, Merbok, Kedah bagi zon utara, Kem PLKN Saujana Impian Jabi, Besut, Terengganu bagi zon timur, Kompleks Rakan Muda Kampar, Perak bagi zon tengah, Kem PLKN Lagenda Gunung Ledang Asahan, Jasin, Melaka bagi zon selatan, Kem PLKN Wawasan, Papar, Sabah bagi zon Labuan dan Pusat Latihan Sarawak, bagi zon Sarawak.
Zamani berkata, Sahabat Yadim adalah satu paltform naungan Yadim yang diwujudkan bagi mahasiswa Islam membina ilmu dan kemahiran diri bagi menjana kepimpinan masa depan negara yang beridelaisme Islam dan berjiwa dakwah.
“Visi Sahabat Yadim adalah untuk melahirkan kepimpinan pelapis masa depan yang beridealisme Islam dan berjiwa dakwah, sementara misinya adalah sebagai paltform kepada mahsiswa bagi meningkatkan kemahiran diri dan seterusnya menyumbang kepada umat,’’ katanya.
Beliau berkata, Sahabat Yadim kini sudah diwujudkan di 26 institusi pengajian tinggi awam dan swasta dengan melibatkan seramai 25,000 pelajar seluruh negara.
KOMEN