KUALA LUMPUR 3 Feb. – Pas menyifatkan kempen undi rosak yang digerakkan oleh kumpulan tertentu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi sebagai haram.
Presidennya, DatuK Seri Abdul Hadi Awang menegaskan tindakan memulau pilihan raya atau merosakkan undi bermakna jumud dan tidak bersedia membuat perubahan politik kepada yang lebih baik.
Katanya, memulaukan pilihan raya juga mendedahkan kepada pilihan yang merosakkan negara serta rakyat, sama ada secara bersendiri atau mengundang campur tangan asing.
“Haram bagi umat Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau merosak undi kerana menarik diri daripada menjadi teras kepemimpinan umat yang wajib demi menegakkan Islam dalam pemerintahan negara.
“Kalangan umat Islam yang memulau pilihan raya atau merosak undi adalah menyerah kalah sehingga penentuan kuasa politik diserahkan kepada bukan Islam yang menjadi salah satu dosa paling besar,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di portal Harakah Daily hari ini. – UTUSAN ONLINE
KOMEN