KUALA LUMPUR: Wisma Putra menasihatkan semua warganegara Malaysia yang berada di Amerika Syarikat dan United Kingdom agar berhati-hati dengan ancaman kempen Punish A Muslim Day yang menggalakkan kekerasan ke atas umat Islam yang didakwa akan diadakan hari ini.
“Kementerian Luar Negeri difahamkan bahawa pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat ancaman ini dan bersedia untuk mengambil tindakan sekiranya umat Islam diancam.
“Dalam hubungan ini, Kementerian Luar Negeri ingin menasihatkan warganegara Malaysia di Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk lebih berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling,” kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam satu surat yang disebarkan oleh pihak yang sehingga kini belum dapat dipastikan itu, kempen tersebut dikatakan akan memberikan ‘poin’ kepada mereka yang bertindak kejam seperti mencurah asid penganut agama Islam.
Difahamkan, pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat ancaman ini dan bersedia untuk mengambil tindakan sekiranya umat Islam diancam.
Warganegara Malaysia di negara berkenaan yang memerlukan bantuan konsular adalah dinasihatkan untuk berhubung dengan Perwakilan Malaysia.
Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu dan organisasi yang menggalakkan kebencian dan berterima kasih di atas keprihatinan pihak berkuasa tempatan dalam menangani ancaman ini.
Kementerian Luar Negeri melalui Perwakilan Malaysia di negara berkenaan akan terus memantau ancaman ini dan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan warganegara Malaysia terpelihara. – ASTRO AWANI
KOMEN