Oleh Farina Ashrin Ariffin
KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) — Program Sejam Bersama Al-Quran, #MalaysiaNgaji bakal berlangsung esok dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Media Karangkraf, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta saluran Astro Oasis.
Diadakan bagi tahun kedua, #MalaysiaNgaji disertai lebih banyak penyertaan daripada rakyat Malaysia yang berada di luar negara seperti Australia, Mesir, Turki, Amerika Syarikat, Indonesia dan Arab Saudi, kata Astro dalam satu kenyataan.
Program ini turut mendapat sokongan dari negara jiran, Indonesia yang akan menggerakkan #IndonesiaNgaji sempena #MalaysiaNgaji melalui Lembaga Tadabbur Al Quran.
“#MalaysiaNgaji merupakan satu usaha murni kita dalam memperkasakan umat Islam melalui bacaan ayat-ayat Al-Quran yang menjadi panduan kita mengenali dengan lebih dekat lagi agama kita yang suci ini,” kata Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali.
SIARAN LANGSUNG DAN PENYERTAAN
#MalaysiaNgaji yang akan berlangsung di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya 24 Ramadan bersamaan 29 Jun, mulai 12 tengah hari sehingga 1 petang, akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Oasis, saluran 106 dan Maya HD (135) selain ‘live streaming’ di laman sesawang www.salammuslim.com.my.
Orang ramai boleh turut serta dengan hadir mengaji di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya atau di lokasi masing-masing atau di Mekah di Surau Level 9, Clock Tower (lelaki), Surau Level 10 (perempuan) pada waktu setempat jam 7 pagi.
#MalaysiaNgaji yang diadakan setiap 24 Ramadan menjadi momentum dalam mengajak rakyat Malaysia menjadikan Al-Quran landasan kehidupan dengan membaca, memahami dan mengamalkan Al-Quran di dalam kehidupan mereka.
“Kami di Oasis berbangga dapat menjadi sebahagian dari acara ini dan adalah menjadi tanggungjawab kami selaku wahana penyampaian dakwah Islamiah untuk terus berusaha menyebarkan keindahan Islam kepada mereka-mereka di luar sana,” ujar Ahmad Fuad.
Untuk panduan dan info lanjut, boleh rujuk di Facebook Rumah Ngaji atau hubungi Marhaini di talian 0133593165.
–BERNAMA
KOMEN