NEW YORK – Kempen ‘Hari Hijab Sedunia 2019’ yang bertujuan menggalakkan wanita menyuarakan pilihan mereka memakai tudung, bakal dilancarkan, kata pengasas acara tahunan itu, Nazma Khan.
“#FreeInHijab adalah hashtag yang sangat diperlukan sekarang ini dalam menangani situasi global di mana wanita yang memakai hijab dilabelkan oleh media sebagai tertindas dan secara simboliknya terpenjara.
“Melalui hashtag ini, wanita digalakkan untuk menyuarakan pilihan mereka memakai tudung, sekali gus menolak salah faham umum,” kata Nazma dalam temu bual eksklusif bersama agensi berita Turki, Anadolu.
Hari Hijab Sedunia dimulakan pada 2013 menggalakan wanita daripada semua agama dan latar belakang supaya memakai hijab menyokong wanita Islam. Ia disambut secara besar-besaran di seluruh dunia pada 1 Februari setiap tahun.
Pada 2017, World Hijab Day menjadi pertubuhan tidak berasaskan keuntungan, dengan misi menentang diskriminasi terhadap wanita muslim, menerusi kesedaran dan pendidikan.
Nazma berkata, moto bagi Hari Hijab Sedunia 2019 ialah ‘Memecah Stereotaip, Menghapus Sempadan’, di mana kempen juga termasuk mempromosi pertubuhan itu secara global.
Menceritakan sebab mengadakan kempen itu, beliau berkata, ianya tercetus selepas pengalaman dilaluinya dengan memakai hijab dan membesar di New York.
“Saya sentiasa dibuli ketika di sekolah menengah atau tinggi. Tahap diskriminasi memuncak selepas peristiwa 9/11 (serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia).
“Setiap hari saya harus berdepan cabaran yang berbeza ketika berjalan di lorong, saya dikejar, diludah, dipanggil pengganas dan sebagainya,” katanya sambil menyatakan kejadian itu amat dahsyat dan beliau tidak mahu orang lain mengalaminya.
Katanya, wanita yang memakai tudung selama satu hari sebagai tanda solidariti akan memberikan idea mengenai perkara-perkara yang dihadapi wanita yang memakai hijab setiap hari.
“Lagipun, mungkin pengalaman sehari ini akan menjadikan mereka berpendapat hijab adalah berbeza,” katanya.
Nazma berkata, terdapat banyak penghargaan dalam tempoh lima tahun lalu, antaranya ialah pengiktirafan Hari Hijab Sedunia oleh New York pada 2017.
Pada tahun yang sama, Dewan Perwakilan Britain menganjurkan acara sempena sambutan Hari Hijab Sedunia, di mana Perdana Menteri, Theresa May juga hadir, katanya.
Tahun ini, Parlimen Scotland juga menjadi hos kepada pameran tiga hari untuk sambutan itu, manakala Filipina pula mengiktiraf 1 Februari sebagai Hari Hijab Kebangsaan.
“Dengan pengiktirafan oleh badan kerajaan, pergerakan ini terus berusaha untuk mengurangkan diskriminasi gender,” katanya. – Anadolu
KOMEN