PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta umat Islam kembali kepada fitrah suci selepas berjaya menempuhi Ramadan dalam mengukuhkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Timbalan Perdana Menteri berkata, fitrah suci juga sentiasa menginginkan kehidupan bersama yang harmoni seiring nilai sosial dan kemanusiaan yang tinggi mesti diterjemahkan sebaik-baiknya dalam sambutan Aidilfitri kali ini.
“Umat Islam sewajarnya menolak dan menjauhi rasuah, kleptokrasi, kronisme dan apa jua penyelewengan hak dalam segala urusan hidup ini kerana mereka yang bertakwa sentiasa memastikan setiap rezeki disuap ke mulut sendiri serta ahli keluarga mereka adalah rezeki halal dan diredai Allah.
“Namun sayang kerana fitrah suci ini terhakis sedikit demi sedikit oleh kerana terpesona dengan tipu daya duniawi yang pelbagai. Saya sungguh berasa gerun apabila memerhatikan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, ‘Setiap daging yang tumbuh daripada sesuatu sumber yang haram, maka neraka lebih layak baginya’.
“Jadi kita perlu menjaga nilai setiap rezeki yang dimakan, maka begitu jugalah rezeki yang dikongsikan bersama-sama orang di luar keluarga kita hendaklah dipastikan suci dan bersih daripada segala sumber diragui,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri 2019, hari ini (4 Jun).
Dr Wan Azizah tanpa ragu berpendirian Aidilfitri adalah detik terbaik untuk menonjolkan keharmonian kaum di Malaysia kerana umat Islam adalah ‘Ummatan Wasatan’ yang sentiasa menjadi contoh teladan sejagat.
“Ini membolehkan penganut agama lain merasai kemuliaan Aidilfitri ini melalui tingkah laku dan sikap baik yang ditonjolkan umat Islam,” katanya.
Beliau berkata, insan yang kurang bernasib baik perlu diberi perhatian agar mereka dapat bersama-sama menikmati kemeriahan dan kemuliaan Aidilfitri.
“Mungkin pada tahap tertentu, bukan wang yang dinantikan tetapi kebersamaan berterusan antara saudara-mara, jiran tetangga dan masyarakat yang lebih berharga,” katanya. – Berita Harian
KOMEN