MELAKA: Bagaikan berada di zaman kegemilangan tamadun Islam. Itulah gambaran ketika melangkah masuk ke Muzium Dunia Melayu Dunia Islam, di sini, yang kini mempamerkan 30 artifak ciptaan saintis terdahulu.
Jika sebelum ini pengunjung hanya mengenali alatan sains dan perubatan moden, kini masyarakat khususnya pelajar dapat melihat sejarah kegemilangan tamadun Islam terdahulu.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Khamis Abas, berkata pameran ‘Kegemilangan Ciptaan Saintis Islam’ yang julung kali diadakan itu mempamerkan artifak saintis Islam dari kurun kelapan hingga ke-18.
Katanya, menerusi pameran ini, pengunjung dapat melihat dengan jelas ciptaan saintis terdahulu, antaranya dalam bidang perubatan, seni bina dan astronomi.
“Pameran ini diharap dapat menyuntik kesedaran umat Islam mengenai kepentingan ilmu sains dan teknologi.
“Malah ia membuktikan tamadun Islam berkembang lebih awal berbanding Barat,” katanya ketika ditemui di Muzium Dunia Melayu Dunia Islam, di sini, hari ini.
Antara artifak yang dipamerkan adalah mesin penerbangan yang dicipta Abbas Ibn Firnas pada abad ke-9, peralatan pembedahan yang dicipta Al Zahrawi @ Albucasis dan Kamera Obskura yang dicipta Ibn Al Haitam.
Khamis berkata, PERZIM menyasarkan kira-kira 30,000 pengunjung sejak pameran berlangsung Khamis lalu hingga 15 Mei depan.
Katanya, walaupun pameran ini baru empat hari berlangsung, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan apabila sudah menerima lebih 300 pengunjung.
Pengunjung, Mohd Ziad Rahman, 25, berkata ini pertama kali beliau melihat ciptaan saintis Islam dan ia amat mengagumkannya.
“Sebelum ini, saya hanya mengetahui hasil ciptaan saintis Barat, tetapi sebenarnya hasil rekaan ilmuan Islam nyata jauh lebih hebat.
“Tidak rugi meluangkan masa untuk melihat kesemua artifak ini kerana ia boleh menambahkan pengetahuan, selain dapat mengenali ilmuan tersohor Islam,” katanya. – BERITA HARIAN
KOMEN