APA yang berlaku dalam masyarakat setiap tahun menjelang menyambut perayaan selalunya disandarkan kepada takdir semata-semata. Padahal mengikut keyakinan dan akidah yang sebenar, takdir tidak pernah bersalah dalam hal ini kerana tragedi tersebut berlaku kerana berpunca dari pilihan dan kecuaian manusia itu sendiri.
Dalam hubungan kelalaian manusia yang dikatakan punca berlakunya kemalangan jalan raya memang ia dianggap sebagai satu takdir. Namun takdir berlakunya kemalangan jalan raya itu disebabkan oleh kecuaian dan sikap buruk kita. Sikap seperti ini pada pandangan agama sebagai ‘tahlukah’ (menuju kebinasaan).
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
”Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah SWT sukakan orang yang melakukan kebaikan” (Surah al-Baqarah ayat 195).
Sudah menjadi tabiat manusia apabila berhadapan dengan suasana perayaan maka sikap mereka akan berubah menjadi manusia yang lupa diri, sombong, terlalu gembira dan ingin menunjuk kehebatan diri, harta dan sebagainya. Dalam suasana demikian manusia akan bertukar menjadi seorang yang galak dan rakus dalam segala tindakannya.
Lantaran itulah setiap muslim yang memiliki panduan dalam hidupnya perlu sedar dan sentiasa berwaspada dengan mengawal kenderaannya dan cara memandu supaya lebih berhemah serta beringat. Dalam agama banyak doa yang boleh dibaca dan diajar antara lain seperti ayat ini. ” Innnallazi farada alaikal qurana laraduka ila ma’ad” surah Al qasas ayat 55 . Menurut sesetengah riwayat sesiapa yang membaca ayat ini insyaallah dirinya akan kembali ke tempat asal dengan selamat. Terdapat bermacam-macam doa dan zikir.
Memang benar takdir telah ditentukan Allah, tetapi kita tidak harus memahami takdir dalam pengertian segala sesuatu telah ditetapkan perincian kejadiannya oleh Allah, sehingga manusia tidak dapat mengelaknya. Sebab itu apabila peristiwa malang itu berlaku tanpa kecuaian dan pilihan seseorang itu maka dia dikira syahid dan tidak diambil kesalahan apa-apa pun.
Takdir adalah ketentuan terhadap sesuatu berdasarkan sistem yang ditetapkan-Nya. Siapa bersandar di tembok yang rapuh akan ditimpa runtuhannya, dan siapa yang menjauhi tembok itu akan terselamat. Kedua-dua ini adalah takdir-Nya, namun demikian manusia berpotensi untuk memilih dan berusaha menghindarinya.
Salah satu usaha tersebut adalah doa. Justeru itu kita dapat berkata bahawa ada ketetapan-Nya yang telah pasti dan ada pula yang bersyarat. Siapa tahu salah satu syarat itu adalah doa, sehingga apa yang diperolehi mereka yang berdoa, sudah tentu berbeza dengan apa yang dialami oleh mereka yang tidak berdoa.
Memandu dengan laju tanpa menghiraukan peraturan dan undang-undang jalan raya sekiranya berlaku kematian, maka kematian itu adalah sebagai mati katak bukan syahid kemalangan. Di sini kita perlu memahami konsep takdir yang sebenar kerana banyak salah faham berlaku di kalangan masyarakat yang menganggap takdir itu adalah kerja Allah SWT yang maha Esa tanpa sekutu dengan yang lain-lain.
Memang pada hakikatnya semua yang berlaku ini sama ada baik atau jahat sudah dalam pengetahuan ilmu Allah sejak dari azali lagi, sedangkan kita tahu ilmu-Nya tersebut bukan tugasnya menentukan berlaku sesuatu (baik atau buruk) kepada hamba-Nya. Manakala kehendak-Nya pula bertindak memilih selaras dengan kemahuan hamba-Nya. Justeru itu balasan baik atau buruk hanya bergantung kepada pilihan hamba sendiri . Ini sesuai dengan firmannya yang bermaksud ” Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu(mengenai sesuatupun).kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah,Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam(Maksud Al-Quran Surah at – Takwiir ayat 29).
Manusia adalah kejadian-Nya yang terpilih, dijadikan lengkap dengan segala keperluannya sebagai tempat yang boleh melaksanakan arahan dan menerima perintah-Nya. Dan manusia juga diberikan kebebasan memilih ke kanan atau kiri, baik atau buruk dan seterusnya.
Kita juga tahu bahawa iradat (kehendak ketuhanan) itu akan berlaku menurut sunah-Nya yang diletakan di dalam kejadian makhluk-Nya. Justeru itu bila Allah hendak menjadikan manusia, Dia tidak mengatakan jadilah kamu lalu kamu terus wujud lengkap dengan segala-galanya.
Tetapi manusia tadi akan dijadikan menurut proses peraturan-Nya iaitu bermula dari mani kemudian bayi kepada remaja, dewasa dan seterusnya. Kita tidak boleh mengatakan segala apa yang berlaku itu tanpa ada sebab dan pendahuluannya. Dalam hal ini Umar r.a pernah mengatakan kita lari dari qadar-Nya (yang buruk) kepada qadar-Nya (yang baik dan selamat). (Hadis riwayat Bukhari).
Demikianlah makna qadar bukan bererti Allah mencabut kemahuan dan pilihan daripada seseorang, sebab dia sendiri boleh berusaha mengubah sikap sombong, mementingkan diri serta cuai ketika memandu. Kita selalu diperdengarkan firman-Nya yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa (nasib) yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa (sikap) yang ada pada diri mereka”. (Surah ar- Ra’du ayat 11).
Apabila berada dijalan raya terutama dihari-hari perayaan ini kita di ingatkan supaya mempastikan segalanya berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan . Agama menuntut kita agar jangan terlalu gembira sangat sehingga hilang tumpuan kita untuk sampai ke destinasi yang sebenar. Firman Allah bermaksud “ Allah tidak suka orang yang bermegah-megah(Maksud Al-Quran Surah Al-Qasas Ayat 76). Sekiranya kita berasa letih dan mengantuk hendaklah berhenti rehat dan buatlah sedikit senaman ringan.
Demikian juga perjalanan tersebut hendaklah dimulakan dengan doa yang selalu diajar antara lain ialah “subhana llazi sakhara lana haza wama kunna lahu muqrinin wainna ila rabbina lamunqalibun”.
Menurut kata setengah ulama sesiapa yang membaca doa ini ketika hendak berlepas dari satu tempat, dia pasti akan dikembalikan ke tempat itu dengan selamat. Insya Allah.- ABABIL
KOMEN