KELUARGA

UNIT TERKECIL sesuatu masyarakat dinamakan keluarga. Keluarga terdiri daripada suami, atau bapa, isteri atau ibu, dan anak. Dalam sesebuah keluarga terdapat suatu ikatan. Isteri dan suami berada di bawah suatu ikatan hukum, sedangkan anak dan ibu bapa mempunyai ikatan darah. Keluarga Adam dan Hawa berada dalam suatu ikatan keluarga ialah ketika firman Allah SWT. menyebut Hawa sebagai isteri Adam: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga” (Q.7:19). Setelah Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga, mereka mempunyai keturunan. Anak- anak mereka dikahwinkan secara silang sehingga membentuk keluarga baru. Keluarga itulah yang akhirnya melahirkan generasi umat manusia hingga sekarang in. oleh itu manusia disebut sebagai “anak cucu Adam”.

 

PERKAHWINAN

Perkahwinan ialah kesepakatan antara lelaki dengan  perempuan untuk menjadi sepasang suami isteri yang sah. Dalam Islam perkahwinan merupakan perkara yang penting, seperti yang ditegaskan dalam al-Quran: “Dan tiap- tiap jenis kami ciptakan berpasang- pasangan, supaya kamu mengingati kekuasaan kami dan mentauhidkan kami” (Q51:49). Di samping disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad saw: “Barang siapa berkahwin bererti telah menyelesaikan separuh bahagian agamanya, kerananya takutlah kepada Allah bagi separuh bahagian lagi” (H.R Baihaqi).

 

KELUARGA SAKINAH

Istilah “ keluarga Sakinah” sangat popular di kalangan umat Islam. Istilah itu menggambarkan suatu rumah tangga yang tenteram dengan seorang suami yang baik dan bertanggungjawab, isteri yang setia dan penuh kasih sayang dan anak- anak yang berbakti. Dalam forum keagamaan, konsep “keluarga sakinah” atau “Rumahku Syurgaku” diperkenalkan sebagai model sebuah keluarga yang berjaya dalam menghadapi liku- liku kehidupan moden yang serba mencabar. Istilah sakinah yang bererti “tenteram” diambil daripada kata “li taskunu” Kata  “li taskunu” terdapat dalam surah al- Rum ayat 21 yang ertinya: “Dan di antara tanda- tanda yang membuktikan kekuasaan- Nya dan rahmat- Nya , bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri- isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bertenang hati dan hidup mesra dengannya.”

 

NAFKAH KELUARGA

Untuk memenuhi keperluan hidup setiap keluarga harus ada yang bertanggungjawab untuk mencari nafkah. Hasil pendapatan yang diberikannya kepada keluarga dinilai sebagai sedekah sesuai dengan hadis Nabi Muhammad saw “Wang yang dibelanjakan oleh seorang lelaki untuk keluarganya adalah sedekah. Dan seorang lelaki akan mendapat pahala daripada setiap butir makanan yang sampai ke mulut isterinya” (H.R Bukhari dan Muslim).

 

MERANCANG KELUARGA

Di Malaysia amalan Merancang Keluarga  telah digalakkan sejak 1970-an. Program itu merupakan cara mengawal kadar kelahiran. Dahulu banyak umat Islam yang menolak program ini. Namun kini, sesetengah umat Islam turut menyertainya. Dalam Islam, mengawal kelahiran secara kekal seperti pemandulan dengan cara pembedahan dan pengguguran kandungan dianggap sebagai satu pembunuhan dan amat dilarang (Q. 17:31).

 

PENDIDIKAN KELUARGA

Salah satu faktor yang tidak boleh diabaikan dalam sesebuah keluarga ialah pendidikan keluarga. Pendidikan itu ditujukan kepada anak yang berada dibawah tanggungjawab ibu bapa. Sekolah lebih merupakan pengajaran dan pengembangan aspek kognitif dan bukan pendidikan. Sekolah hanya bertanggungjawab memberikan pengetahuan dan latihan. Pendidikan yang bersifat efektif (terutama perilaku) merupakan tanggungjawab ibu bapa. Peranan ibu bapa dalam pendidikan anak di rumah tidak dapat diserahkan kepada orang lain atau organisasi mana sekalipun. Dalam sebuah keluarga selain bertanggungjawab menanamkan tigkah laku yang baik, ibu bapa bertanggungjawab memberikan pengetahuan kepada anaknya, misalnya mengajak anak ke muzium untuk menghayati sejarah peradaban sesuatu bangsa dan banyak lagi.