PUTRAJAYA- Slot Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bakal disiarkan setiap hari di TV AlHijrah bagi menjamin pendidikan agama di kalangan pelajar terutama di peringkat sekolah rendah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pihaknya mengambil maklum tentang kerisauan ibu bapa berkenaan kelas KAFA anak-anak mereka.
“Pendidikan keagamaan dan nilai murni kepada anak-anak sentiasa menjadi keutamaan kami.
“TV AlHijrah di zaman saya adalah TV pendidikan, tarbiah, hiburan Islami dan ilmiah untuk seisi keluarga,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter @drzul_albakri.
Tambahnya rancangan pendidikan agama itu akan dilaksanakan agensi di bawah kementeriannya melalui kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) serta TV AlHijrah.
Makluman lebih lanjut berhubung slot pendidikan itu katanya akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata slot pendidikan itu akan dapat membantu pelajar dari kumpulan B40 terutama yang mempunyai masalah capaian internet yang terhad.
“Pendidikan atas talian sangat penting, namun kita masih perlu perakui, capaian masih belum sepenuhnya.
“TV AlHijrah akan melaksanakan kelas KAFA yang mana murid dan pelajar boleh tonton setiap hari selama setengah jam dan ulangan hari sama bagi subjek tersebut.
“Doakan usaha kami,” katanya kepada AlHijrah Online.
Menurutnya slot pendidikan itu akan disiarkan setiap hari Isnin hingga Ahad pada jam 4.30 petang dan ulangan pada hari sama jam 6.30 petang.
Ujarnya pada hari Isnin slot pendidikan itu akan menyiarkan mengenai Akidah dan Ibadah, Selasa pula mengenai Sirah, Rabu pendidikan Jawi dan Khat, Khamis pendidikan Adab, dan Jumaat pengajian Lughatul Quran.
Pada Sabtu pula slot pendidikan KAFA akan menyiarkan Penghayatan Cara Hidup Islam, manakala Ahad pula mengenai Amali Solat dan Bidang Quran. — AlHijrah Online
KOMEN