KOTA BHARU – Kerajaan negeri mengalu alukan sebarang usaha mengadakan program berbentuk dakwah di negeri ini, kata Menteri Besar Kelantan, Yang Amat Berhormat Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob.
Menurutnya, kerajaan mengharapkan lebih banyak agensi dan pertubuhan untuk tampil bekerjasama, seperti YADIM yang menganjurkan program hari terbukanya, dalam menjalankan program untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
Adalah sukar untuk hanya mengharapkan pihak kerajaan melaksanakan gerak kerja dakwah dan menyantuni masyarakat katanya, semasa menyempurnakan majlis Penutup Hari Terbuka YADIM di Dewan Jubli Perak di sini pada 26 September.
Hadir sama ke majlis penutup tersebut ialah Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, ketua ketua agensi kerajaan negeri, serta pengurusan kanan YADIM.
Program peringkat kebangsaan selama dua hari itu menyediakan pelbagai aktiviti pengimarahan dakwah seperti forum wanita, sesi bersama pertubuhan bukan kerajaan, dialog harmoni dan sebagainya.
Pada masa yang sama, ia turut menawarkan pengisian seperti sesi keusahawanan belia, pertandingan mewarna, azan dan bercerita untuk kanak kanak, cabutan bertuah, jualan bahan bacaan terbitan YADIM, pameran oleh agensi Islam dan sebagainya.
Ia mendapat sambutan sangat baik apabila para peserta memenuhi kapasiti dewan hampir setiap kali program diadakan.
Sementara itu, Ustaz Nasrudin dalam ucapan aluannya berkata, ini adalah salah satu usaha pihaknya bagi melestarikan gerakan dakwah di negara ini.
Menurutnya, usaha dakwah tidak seharusnaya menjadi milik eksklusif agensi agensi agama sahaja, atau hanya dijalankan di dewan dan pejabat semata mata.
KOMEN