Home » Langit Terbuka » Kekal istiqamah di bulan Syawal – Dr Luqman

Kekal istiqamah di bulan Syawal – Dr Luqman

KUALA LUMPUR –  Memasuki bulan Syawal, umat Islam di negara ini diseru agar terus beristiqamah terutamanya dalam menghadapi ujian wabak COVID-19 yang membataskan masyarakat menyambut perayaan Aidilfitri semeriah seperti kelaziman sebelum ini.

Aidilfitri merupakan hari kemenangan dan kegembiraan dalam pembersihan jiwa yang dikurniakan Allah kepada umat Islam kerana dapat menempuh ujian sebulan berpuasa serta berjaya melaksanakan ibadah lain secara istiqamah di bulan Ramadan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah, berkata masyarakat perlu akur dengan situasi sekarang dan mematuhi arahan kerajaan terutamanya dalam prosedur operasi standard (SOP) semasa sambutan Aidilfitri kali ini kerana ia merupakan langkah pencegahan bagi membendung penularan COVID-19.

“Ini bertepatan dengan kaedah iaitu mencegah keburukan itu lebih diutamakan daripada mencapai kebaikan. Aidilfitri merupakan salah satu syiar bagi seluruh umat Islam setelah sebulan menghadapi tarbiah bulan Ramadan.

“Tidak dinafikan bahawa penularan COVID-19 merupakan suatu musibah besar buat umat Islam. Namun, seperti yang kita ketahui bahawa antara hikmah di sebalik setiap musibah yang berlaku itu adalah supaya kita kembali kepada Allah SWT,” katanya kepada Bernama.

Masyarakat serta ekonomi di negara ini terkesan akibat COVID-19 yang menyerang seluruh dunia sejak hujung tahun lepas sehingga kerajaan terpaksa melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian virus itu di negara ini.

Kemudian kerajaan telah perkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan melonggarkan sedikit perkara bagi memulihkan ekonomi namun masih ada SOP ketat yang perlu dipatuhi bagi memastikan matlamat memutuskan rantaian pandemik itu tercapai. 

Luqman berkata meskipun beberapa ibadah tertentu seperti solat Jumaat, solat berjemaah, solat Tarawih, dan solat Hari Raya terhalang untuk dilakukan di masjid dan surau namun ia tidak menghalang untuk umat Islam melakukannya secara berjemaah di rumah.

“Solat sunat Aidilfitri, ia dituntut untuk dilakukan secara berjemaah di tanah lapang atau di masjid serta dihadiri oleh orang ramai bagi menzahirkan syiar Islam. Solat sunat Aidilfitri juga adalah sah sekiranya dilakukan di rumah atau di tempat lain sama ada secara berjemaah atau berseorangan,” katanya.

Beliau berkata dalam situasi sekarang ini, solat berjemaah di rumah atau secara individu dapat mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19.

Luqman turut mencadangkan bagi memeriahkan lagi suasana Aidilfitri, masyarakat melaungkan takbir dengan menggunakan aplikasi video secara dalam talian bersama ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan yang berjauhan bagi mengeratkan hubungan silaturrahim.

“Selaku rakyat Malaysia, kita seharusnya menunaikan tanggungjawab dengan mematuhi perintah yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dalam meneruskan kelaziman baharu supaya dapat menghindari jangkitan wabak ini.

“Pada ketika inilah ketua keluarga memainkan peranan untuk mendidik dan mewujudkan suasana yang baik di dalam rumah seperti melaksanakan solat berjemaah, bertadarus al-Quran, melaksanakan qiyamulail bersama dan lain-lain lagi. Ini juga adalah merupakan cara untuk menarik rahmat Allah SWT masuk ke dalam rumah kita,”  katanya.

Beliau tidak menafikan apa yang berlaku ini sememangnya satu perkara yang tidak dijangka dan menyeru sebagai seorang Muslim, masyarakat perlu menganggap bahawa perkara ini adalah satu ujian daripada Allah SWT.

Mengenai menziarahi kubur, Luqman menjelaskan amalan itu adalah dituntut dalam Islam dan hukumnya adalah sunat mengikut pendapat yang sahih, namun, berikutan PKPB secara tidak langsung ia memberi kesan terhadap keharusan amalan menziarahi kubur yang kebiasaannya diamalkan sebahagian masyarakat sebelum ini.

Sebagai alternatif, Luqman mencadangkan beberapa perkara untuk umat Islam iaitu digalakkan memperbanyakkan doa kepada si mati dengan memohon keampunan kepada mereka. 

Selain itu perbanyakkan bacaan Al-Quran sepanjang keberadaan di rumah dan meniatkan pahala bacaannya untuk si mati serta bersedekah dan membuat amal kebajikan serta meniatkan pahalanya untuk ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

— BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *