KUALA LUMPUR 26 Mac – Video qariah ternama negara, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman Al Yahya mengalunkan qasidah di Sarajevo, Bosnia Herzegovina pada hujung tahun lalu mula menjadi tular hari ini.
Video berdurasi 6 minit 25 saat itu memperlihatkan Sharifah Khasif mengalunkan Selawat Rasulullah di hadapan lebih 10,000 orang serta diringi dua penari Sufi dari Turki serta sekumpulan penyanyi latar dan pemuzik iringan.
Rata-rata netizen menyatakan kekaguman mereka terhadap qariah Malaysia itu yang juga aktif sebagai pengacara program televisyen seperti Indahnya Kalam Suci, Akademi Quran serta beberapa rancangan Islamik terbitan stesen televisyen tempatan.
Dalam satu perbualan dengan Utusan Online sebentar tadi, Sharifah Khasif berkata, peluang mengalunkan qasidah di pentas dunia itu sebagai satu penghormatan buatnya kerana jarang-jarang sekali kesempatan sedemikian diperoleh.
Apa yang membanggakan Johan Tilawah al-Quran Antarabangsa 2009 itu juga ialah dalam kalangan puluhan peserta yang menyertai Malam Quran dan Qasidah itu, beliau merupakan peserta tunggal wanita bukan dari negara Arab yang diundang memeriahkan acara yang diadakan di negara Balkan itu.
“Selepas persembahan saya pada malam kemuncak itu, saya mendapat reaksi yang sangat mengejutkan daripada penganjur. Mereka menyenangi persembahan alunan Selawat Rasulullah serta bacaan ayat-ayat kitab suci al-Quran. Sungguh saya tidak pernah menduga mendapat penghormatan sedemikian,” ujar Sharifah Khasif lagi. – UTUSAN
KOMEN