KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan skor dan kedudukan lebih baik dalam Indeks Demokrasi 2019, selepas berada di kedudukan ke-43 daripada sejumlah 167 negara yang dinilai.
Laporan terbaru dikeluarkan Unit Perisikan Ekonomi (EIU) itu menilaikan Malaysia dengan skor 7.16, berbanding 6.88 pada tahun sebelumnya.
EIU adalah kumpulan penyelidik dalam syarikat media The Economist yang berpangkalan di London.
Skor terkini itu juga menunjukkan peningkatan konsisten Malaysia sepanjang tempoh lima tahun sejak 2015, dengan skor 6.43 dinilai pada ketika ini, naik kepada 6.54 bagi 2016 dan 2017 serta 6.88 tahun lalu.
Laporan itu menyebut, bagi kategori rantau Asia dan Australasia, Malaysia berada di tangga ketujuh dari 29 negara serta di kedudukan pertama bagi negara di Asia Tenggara.
Peningkatan skor Malaysia yang mengatasi negara serantaunya itu, dipengaruhi oleh keputusan kerajaan sebelum ini memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018. – Berita Harian
KOMEN