CYBERJAYA – Malaysia mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkembang pada paras 4.5 peratus tahun ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bercakap kepada ahli Dewan Perniagaan dan Industri Perancis Malaysia (CCIFM) di sini pada 10 Februari, Dr Mahathir berkata, sejak mengambil alih negara pada 10 Mei 2018, kerajaan baharu memberi tumpuan untuk mewujudkan ekonomi yang stabil, disiplin fiskal yang baik, ketelusan dalam perniagaan, menyingkirkan rasuah dan melancarkan pembaharuan institusi.
“KDNK kami diunjurkan berkembang pada paras 4.5 peratus tahun ini, walaupun berdepan masa yang mencabar. Dengan disiplin fiskal yang bagus, defisit belanjawan kami akan dikecilkan kepada 3.2 peratus tahun ini.
“Kami komited untuk menyediakan suasana perniagaan yang stabil untuk pelabur. Kami akan menjadi mesra perniagaan.
“Malah, kami akan memulakan semula dasar Persyarikatan Malaysia (Malaysia Incorporated), iaitu hubungan baik antara kerajaan dan sektor swasta,” katanya.
Unjuran berkenaan kurang 0.3 peratus berbanding angka yang disasarkan tahun lalu, iaitu pada 4.8 peratus. – Berita Harian
KOMEN