Home » Langit Terbuka » Kawal gelaran bersifat agama

Kawal gelaran bersifat agama

Mufti Perlis menjelaskan, kawalan itu adalah kerana dibimbangi masyarakat akan terkeliru dan menyangka fakta yang salah itu benar kerana gelaran berkenaan

SHAH ALAM – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong kepentingan untuk mengawal penggunaan gelaran bersifat agama susulan bimbang masyarakat akan menjadi mangsa.

Mohd Asri berkata, dalam seminar yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa semalam ada memperkatakan tentang perlunya kawalan terhadap penggunaan gelaran ustaz dengan sewenangnya.

Menurutnya, apa yang disuarakan menteri berkenaan adalah kerana dibimbangi masyarakat akan terkeliru dan menyangka fakta yang salah itu benar kerana gelaran berkenaan.

“Saya sokong dan saya rasa perkataan yang paling bahaya digunakan ialah Ulama. Ini seperti tokoh ulama, dewan ulama, majlis ulama, syura ulama dan seumpamanya. Tokoh-tokoh besar dunia pun takut untuk memanggil diri mereka ulama.

“Di Malaysia, dengan mudah wujud istilah-istilah ini. Jika memang ada latar ilmu yang memadai, maka tidak mengapalah digunakan. Bimbang sebaliknya,” kongsinya dalam laman Facebook peribadinya, hari ini.

Mohd Asri berkata, malam tadi dia mendengar bagaimana seorang penceramah parti politik yang bergelar ‘ustaz’, bahkan dianggap ulama dalam partinya telah mentakrifkan hadis ‘hasan gharib’ dengan makna ‘hadis hasan yang luar dari kebiasaan’.

“Saya amat terkejut. Barangkali beliau tidak pernah mendengar perkataan ‘gharib’ dalam ilmu hadis untuk membolehkan beliau sekurang-kurangnya mengangak maksud al-Imam al-Tirmizi atau selainnya,” katanya.

Menurutnya, perkataan ‘gharib’ dipelajari oleh pelajar agama sejak sekolah lagi sebelum ke universiti.

Menurutnya, walaupun mungkin istilah hasan gharib di sisi al-Tirmizi mempunyai maksudnya yang tersendiri seperti yang dibahaskan oleh para sarjana hadis, namun dengan mengetahui istilah asas pasti seseorang tidak akan menterjemahnya dengan maksud ‘luar dari kebiasaan’.

“Hal ini sangat asas untuk diketahui oleh pelajar agama. Apatah lagi apabila seseorang cuba mengajar hadis kepada orang ramai.

“Malangnya nanti jika orang ramai atau pengikut partinya menelan apa sahaja yang ‘ulama’ mereka beritahu. Padahal, maklumat ‘ulama’ mereka itu bukan sahaja dangkal tetapi tidak berasas. Bahkan tidak menggambarkan sama sekali pengajian ilmu.

“Maka, saya rasa betapa pentingnya untuk dikawal wewenang penggunaan gelaran bersifat agama yang akhirnya masyarakat menjadi mangsa,” tegasnya. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *