GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor meminta pihak berkuasa mengawal dan mengadakan garis panduan tertentu bagi aktiviti kebudayaan serta kesenian yang diadakan di negara ini.
Beliau berkata ia perlu supaya aktiviti tersebut tidak menyimpang daripada ajaran agama, nilai murni dan budaya ketimuran.
“Golongan yang tersilau dengan kegemerlapan tamadun Barat sering cuba menampilkan budaya asing untuk disogok kepada rakyat negara ini terutama generasi baharu sebagai sasaran utamanya.
“Dengan mengundang artis Barat terutama yang diketahui pendiriannya yang menyokong budaya songsang LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) merupakan satu dorongan dan rangsangan yang kuat kepada penyelewengan akhlak khususnya dalam kalangan anak-anak muda. Seterusnya situasi ini juga akan mengheret mereka ke arah melakukan jenayah, keganasan dan penagihan dadah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Wan Salim berkata amat dikesali ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-65, masih ada kalangan yang terus berusaha menghakis jati diri rakyat Malaysia yang bersendikan ajaran agama, nilai akhlak dan tradisi ketimuran.
Minggu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berpendirian penganjuran konsert yang merosakkan tidak perlu diadakan di negara ini kerana sekiranya hiburan tanpa batasan menjadi budaya, ia akan membawa kepada pembinaan generasi yang pincang. – BERNAMA
KOMEN