MELAKA – “Agama dan kepercayaan yang berbeza bukan penghalang untuk kita hidup harmoni, paling penting kena saling menerima kerana tuhan sudah arahkan kita berbuat baik sesama manusia tidak kira apa jua agama,” kata seorang nenek beragama Buddha yang menjaga cucu perempuan Islam sejak 23 tahun yang lalu.
Tan Guan Neo, 75, yang mesra dipanggil sebagai Nyonya Popo berkata perkara yang membawa perpecahan kaum dan agama sehingga menimbulkan keresahan dan ketakutan rakyat di negara ini seharusnya dielakkan demi memastikan perpaduan yang dinikmati rakyat ketika ini sejak sebelum kemerdekaan negara dicapai, dapat terus dipertahankan.
“Cina atau Melayu sama sahaja..saya menjaga cucu Islam sejak kecil sampai besar dan sekarang dia sudah berkahwin, anak saya tiga orang masuk Islam dan saya biasa sahaja (tidak memarahi mereka). Cina, India dan Melayu sama, kita sembahyang pun satu tuhan buat apa kita berselisih faham antara satu sama lain?
“Sudah berpuluh-puluh tahun Malaysia terkenal dengan kepelbagaian kaum dan agama. Walaupun masyarakat kita tidak menganut agama yang sama, tetapi kita berkongsi negara yang sama. Perpaduan inilah yang buatkan negara kita kuat dan unik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Taman Merdeka di sini.
Beliau mempunyai lima anak perempuan berusia antara 43 dan 54 tahun yang tiga daripadanya iaitu Faridah Nurul Ain, 54, Nur Hasleena Lee, 52, dan Fatin Nasuha Lee, 43, menganut agama Islam selain 11 daripada 15 cucunya juga beragama Islam.
Tan dan suaminya, Lee Nyong Yin yang meninggal dunia akibat denggi berdarah lima tahun lepas, mengambil tanggungjawab menjaga cucu perempuannya, Fahira Nabilah Isham sejak cucunya itu berusia empat bulan.
Menurut Tan yang merupakan Cina peranakan dan pernah menerima Anugerah Ibu Cemerlang 2015 peringkat negeri Melaka, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran terutama perbezaan agama selain pandangan serong dari masyarakat sekeliling dalam menjaga Fahira Nabilah yang kini berusia 23 tahun, namun dia berjaya menempuhinya.
“Saya akui bukan senang untuk besarkan cucu untuk pastikan dia mendapat pendidikan agama yang sempurna apatah lagi saya agama lain, Fahira Nabilah agama lain, bahkan ramai yang mengganggu tetapi saya tidak takut, kerana bapa saudara Nabi Muhammad S.A.W, Abu Talib pun bukan Islam tapi jaga baginda dengan penuh kasih sayang.
“Jadi apa salahnya saya jaga darah daging saya sendiri, lagipun semasa Fahira Nabila bersekolah, saya sendiri memandu kereta untuk menghantarnya ke sekolah agama dan mengaji selain memastikan dia tunaikan solat, berpuasa dan khatam al-Quran,” katanya yang pernah membasuh rumah dengan air tanah dan tidak membela anjing sejak menjaga cucunya itu.
Sementara itu, Fahira Nabilah yang merupakan graduan Diploma Sains Komputer dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin berkata generasi muda perlu mengekalkan kemakmuran dengan menghargai keamanan negara selain tidak mudah terpengaruh dengan anasir jahat terutama di media sosial.
“Di media sosial sering terdapat perkara yang cuba untuk mencetuskan provokasi antara kaum dan telefon pintar adalah gajet yang paling hampir dengan golongan muda, jadi mereka perlu berhati-hati dan jangan mudah percaya dengan provasi itu kerana hakikatnya masyarakat kita walaupun berbeza kaum dan agama, tetap boleh hidup dengan aman dan damai.
“Misalnya, saya dan Popo (Tan) berbeza fahaman, namun kami saling hormat menghormati antara satu sama lain. Paling penting untuk berjaya dalam apa jua cabaran yang kita hadapi, kita perlu bersatu,” katanya yang sudah berkahwin dengan pasangannya Muhammad Asyraf Abd Rahman, 23, sejak Jan lepas.
Fahira Nabilah mempunyai dua adik lelaki iaitu Fariz Ikmal Isham, 21, dibesarkan oleh keluarga sebelah bapanya Isham Mansor yang telah meninggal dunia pada 2008, manakala seorang lagi adiknya Falah Isyraf Isham, 14, kini tinggal di Rumah Anak-Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj di Pantai Kundor.- Bernama
KOMEN