Home » Langit Terbuka » Kanak-kanak Rohingya terima bantuan pendidikan Arab Saudi

Kanak-kanak Rohingya terima bantuan pendidikan Arab Saudi

MAHMOUD HUSSEIN QATTAN (berdiri kiri) dan Yasser Alshehri (tengah) beramah mesra dengan pelajar Rohingya di Sekolah Arab Saudi Kuala Lumpur, semalam. foto : UTUSAN

KUALA LUMPUR 3 April – Kanak-kanak Rohingya bakal meneri­ma sinar baharu apabila bantuan kemanusiaan menerusi pen­didikan percuma diberikan bagi membela nasib mereka.

Jurucakap Kedutaan Arab Saudi di Malaysia memberitahu, lebih 160 pelajar Rohingya mengikuti pendidikan akademik dan al-Quran secara percuma di Sekolah Arab Saudi Kuala Lumpur selaras dengan usaha negara tersebut meningkatkan kualiti hidup pelajar dan keluarga mereka.

Selain itu katanya, bantuan berbentuk pakaian dan keperluan lain seperti makanan serta pengangkutan turut diberikan kepada pelajar Rohingya yang terpilih.

“Kita menjangka lebih ramai pelajar akan dibantu dengan sasaran 500 orang bermula April hingga Jun dan 500 lagi bermula Julai hingga September. Mereka turut memperoleh sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Setakat ini terdapat lima pusat bantuan Rohingya di negara ini dengan setiap sebuah menampung kira-kira 200 pelajar dengan sasaran 1,680 orang untuk tahun ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis peme­teraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman dengan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia di sini.

Yang turut hadir Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Qattan; wakil Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman, Yasser Alshehri dan Pengetua Sekolah Arab Saudi Kuala Lumpur, Yousef Abdullah Al-Omran

Dalam pada itu jurucakap itu berkata, pihaknya merancang untuk membina pusat latihan bagi menyediakan pelajar dengan kemahiran tertentu se­perti bidang kek dan pastri, komputer dan membaik pulih enjin kenderaan sebagai asas untuk mereka melangkah ke alam pe­kerjaan.

“Apabila mereka mencapai­ umur antara 15 hingga 16 tahun, pelajar-pelajar ini memerlukan sesuatu kemahiran supaya boleh mengorak langkah demi masa depan. Itu yang lebih penting,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Bengkel Pelan Strategik YADIM 2024

WALAUPUN Sudah banyak kejayaan yang dikecapi, warga badan dakwah ini diseru untuk tidak cepat berpuas hati, malah perlu berusaha lebih gigih lagi

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *