BALING, 17 OGOS – Pendekatan dakwah melalui aktiviti sosial bersama masyarakat merupakan antara pendekatan yang diterapkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bersama penduduk sekitar Kampung Bok Bak baru-baru ini.
Program Yadim bersama Komuniti yang julung kali diadakan di Kedah ini merupakan buah tangan daripada Yadim Zon Utara dengan kerjasama Surau Attawun Kampung Bok Bak dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bok Bak.
Menurut Penyelaras Program, Puan Hafsah Hashim, program ini selain mahu mengeratkan hubungan antara Yadim dan masyarakat sekitar juga dijadikan platform untuk menyebar dakwah melalui kaedah yang lebih mesra dan bermakna.
Antara pengisian yang dimuatkan program ini adalah aktiviti gotong-rotong sekitar surau bersama para sukarekawan, Ziarah Prihatin, sesi ‘Sembang Dakwah Bersama Yadim’ dan Tazkirah selepas solat Maghrib.
Dalam aktiviti Ziarah Prihatin ini para pegawai Yadim dan JKKK Surau telah mengunjungi 10 buah rumah yang dihuni oleh warga emas dengan memberikan sumbangan hamper dan risalah dakwah yang berkaitan solat dan sebagainya.
Pada sebelah petang, program diteruskan lagi dengan sesi ‘Sembang Dakwah Bersama Yadim’ yang telah dihadiri oleh lebih kurang 90 orang kaum ibu dan remaja kampung.
Sesi tersebut dimuatkan dengan ceramah yang bertajuk ‘Peranan Wanita Dalam Membentuk Keluarga Sakinah’ yang disampaikan oleh Ustazah Sarina Zakaria dari Jabatan Kemajuan Masyarakat.
Beliau telah menyentuh tentang peranan yang perlu dimainkan oleh para ibu dalam mendidik anak dalam dunia yang serba mencabar ini. Beliau juga banyak memberikan tips dan doa-doa yang boleh diamalkan para ibu sama ada dipraktikkan selepas solat mahupun ketika melakukan kerja-kerja di rumah.
Tambah Puan Hafsah, “Para ibu berasa amat terkesan dengan ceramah yang disampaikan oleh Ustazah Sarina dan berasakan program sebegini perlu diperbanyakkan lagi agar orang-orang kampung terutama kaum ibu dapat menerima ilmu-ilmu baharu yang mereka tidak tahu sebelum ini.”
Di sebelah malamnya pula, sesi tazkirah telah disampaikan oleh Saudara Mohd Khairi Shaari dari Jabatan Pendidikan Daerah Baling. Beliau telah menyingkap tentang kepentingan menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia dalam kehidupan seharian.
Program selama sehari ini ternyata mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat dan mereka berharap agar program-program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.
KOMEN