SHAH ALAM 17 Dis. – Pengumuman membatalkan Imams mendapat respons positif daripada pengendali ejen umrah.
Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi menghalang penipuan dalam urusan pakej umrah itu bagus, tetapi kaedah diperkenalkan perlu betul.
“Jika kementerian sendiri kendalikannya, saya rasa kita tidak ada masalah kerana ada jabatan berpengalaman dalam urusan umrah ini. Ambil jabatan tersebut dan kendalikannya.
“Bukan nak meninggi diri, tapi kami dalam bidang ini (mengendalikan jemaah umrah) lebih 15 tahun. Macam mana orang yang belum ada pengalaman dalam hal ini kumpul kami di bawah satu syarikat untuk kendalikan visa umrah,” katanya, semalam.
Menurutnya, tidak ada negara di dunia ini mengenakan cukai berganda dalam soal pengendalian umrah.
“Di pihak kami (pengendali ejen umrah) telah dikenakan cukai barang dan perkhidmatan GST bagi pakej disediakan. Selepas itu untuk permohonan visa umrah, dikenakan lagi GST. Ia tak sepatutnya berlaku,” katanya.
Md Daud berkata, beliau juga tidak yakin Imams mampu memenuhi dan melaksanakan tugas memohon visa jemaah yang mahu mengerjakan umrah.
“Setahun kami pernah kendalikan ratusan ribu rakyat negara ini yang mahu mengerjakan umrah. Memang pernah berlaku masalah seperti pasport bakal jemaah tercicir sebab tersilap letak, tapi kita selesaikan segera.
“Macam mana jika mereka (syarikat pengendali Imams) yang menangani masalah visa lambat dan jemaah sudah berada di lapangan terbang?
“Adakah mereka akan berkejar ke kedutaan Arab Saudi untuk dapatkan visa seperti kami, ejen pengendali umrah lakukan? Saya rasa mereka tak mampu lakukan,” katanya.- SINAR HARIAN
KOMEN