KUALA LUMPUR – Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) akan memberi tumpuan kepada memulihkan keyakinan pelabur, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kajian itu biasanya dibentangkan di Parlimen pada Julai, tetapi kini dijadualkan pada 18 Oktober ini.
Kerajaan Pakatan Harapan akan turut menerangkan mengenai dasar dan hala tujunya yang baharu dari segi meningkatkan ekonomi Malaysia untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
RMK-11 (2016-2020), dilancarkan pada 21 Mei, 2015, berada pada peringkat akhir dalam perjalanan ke arah merealisasikan Wawasan 2020.
“Tumpuannya untuk memastikan kami dapat mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI) dan kami mahu pelabur mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.
“Ini amat penting kepada kami…cabaran yang dihadapi kerajaan Pakatan Harapan adalah bagaimana untuk memulihkan keyakinan pelabur,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pemantauan Ekonomi Malaysia Edisi Ke-18 Bank Dunia di sini hari ini.
Azmin berkata disokong oleh prestasi ekonomi yang diunjurkan, dengan pertumbuhan kekal pada 5.5 peratus bagi tahun ini, beliau percaya kerajaan baharu dapat menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia. Beliau berkata FDI ke Malaysia akan dapat mewujudkan lebih banyak nilai bagi negara melalui industri yang inovatif, berteknologi tinggi dan berteraskan modal, serta bukan bergantung kepada tenaga kerja.
Terdahulu, dalam ucapan, Azmin berkata kajian separuh penggal itu akan turut menangani perbezaan pertumbuhan di negeri-negeri dan ketidaksamaan pendapatan, terutamanya kumpulan pendapatan B40, kadar pengangguran belia yang tinggi dan peningkatan kos sara hidup.
Kerajaan akan turut menangani cabaran struktur, seperti meningkatkan produktiviti buruh, memastikan pelaburan dan inovasi yang berkualiti, dan mendorong industri untuk meningkatkan rantaian nilai, katanya. – BERNAMA
KOMEN