KUALA LUMPUR 7 Sept. – Pelbagai pihak perlu dirujuk berhubung kesan kemudaratan zika sebelum mengeluarkan sebarang keputusan sehingga dibolehkan wanita hamil menggugurkan kandungannya jika dijangkiti virus itu.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ini kerana sebarang pengguguran adalah haram di sisi Islam selain turut menyalahi etika bidang perubatan.
“Isu ini perlu mendapat kata sepakat antara semua pihak, segala isu berbentuk nasional perlu diputuskan secara kolektif.
“Kita perlu mendengar dahulu penjelasan bidang perubatan sejauh mana bahaya zika kepada bayi, negara-negara yang dilanda virus ini pun kita tidak dengar mereka membolehkan pengguguran kandungan dibuat. Jadi perlu ada taklimat menyeluruh dan lebih tepat sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri mengeluarkan kenyataan bahawa wanita hamil yang dijangkiti virus zika dibolehkan menggugurkan janin yang belum mencapai usia 120 hari.
Pada 1 September lalu, Malaysia mencatatkan kes virus zika pertama apabila seorang wanita dari Klang, disahkan positif dijangkiti virus itu selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos, manakala Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan turut mengesahkan kes virus zika tempatan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 61 tahun dikesan di Likas, Sabah.
Dalam pada itu, Mufti Sabah, Datuk Bungsu Jaafar menegaskan, tindakan menggugurkan bayi dalam kandungan setelah dikesan menghidapi zika adalah melanggar hukum dasar Islam iaitu membunuh nyawa yang dibenarkan hidup.
Malah, menurutnya, andaian para doktor ke atas bayi yang dikandungkan itu akan mengalami kemudaratan juga perlu dilihat dalam aspek meluas.
“Mengikut hukum dasar Islam, menggugurkan kandungan adalah haram selepas roh telah ditiupkan pada usia kandungan empat bulan. Kita harus lihat menggugurkan kandungan ini adalah membunuh nyawa yang dibenarkan hidup, manakala kandungan tersebut jika dibiarkan bukan mengalami kecacatan 100 peratus dan kemudaratan itu hanya andaian para doktor.
“Oleh itu, Islam melihat mengekalkan kandungan adalah lebih wajib daripada menggugurkannya bagi wanita mengandung yang menghidap virus zika,” katanya.
Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, haram bagi wanita hamil yang dijangkiti virus zika menggugurkan janin mereka, meskipun sebelum mencapai usia 120 hari kecuali jika janin itu disahkan tidak akan selamat.
“Islam hanya membenarkan berbuat demikian jika ada pengesahan daripada doktor pakar beragama Islam bahawa bayi itu tidak akan hidup lama atau akan membawa kemudaratan kepada ibunya.
“Andai kata dikenal pasti janin dijangkiti zika sebelum berusia 120 hari dan disahkan oleh doktor Islam yang pakar bahawa bayi atau janin itu tidak akan selamat atau memudaratkan ibu mengandung, maka ini diharuskan.
“Ini sama dengan kes lain, contohnya, bayi dikenal pasti tiada kepala dan kalau lahir pun tidak akan hidup lama dengan syarat disahkan oleh doktor Islam yang pakar,” jelasnya.
KOMEN