KUALA TERENGGANU 27 Nov. – Terengganu muncul negeri pertama merintis kaedah terkini bagi menyempurnakan proses pelupusan abu al-Quran di tengah laut iaitu dalam bentuk kiub atau bongkah yang ternyata lebih sistematik dan efektif.
Pencapaian menerusi sistem inovasi terbaharu itu berjaya menarik perhatian beberapa negeri selain selatan Thailand yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, kaedah terbaharu itu mula diperkenalkan hari ini dan proses pelupusan kali keenam itu melibatkan 1.4 tan abu bersamaan kira-kira 49,000 tan al-Quran.
Beliau menjelaskan, kesemua 118 kiub atau bongkah abu itu dibuang ke laut dalam keadaan lebih sempurna dan tidak lagi berlaku pencemaran sebagaimana proses pelupusan sebelum ini.
“Ini merupakan satu kaedah khusus dan terkini yang dihasilkan Terengganu. Kita buat relau sendiri untuk proses jadikan abu dalam bentuk kiub atau bongkah yang senang dibawa atau disimpan.
“Setelah dibuang ke laut, kiub-kiub ini masih berada dalam keadaan sempurna dan apabila terkena air akan mengambil masa agak lama sebelum terlerai,” katanya kepada pemberita sempena program pelupusan itu di Jabatan Laut Malaysia, Wilayah Timur, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Wan Mohamad Wan Ibrahim.
Ghazali yang diiringi Wan Mohamad kemudian menaiki Kapal MV Akturus Jabatan Laut Malaysia menuju ke satu lokasi di perairan Terengganu bagi menyempurnakan proses pelupusan itu iaitu kira-kira 10 batu nautika dari sini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata, proses itu sentiasa berterusan dan kekerapannya bergantung kepada keadaan kerosakan al-Quran selain permasalahan dari segi stok simpanan kitab suci itu.
KOMEN