SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menetapkan kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Selangor tahun ini pada kadar RM7 seorang, sama seperti tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M.Yusop berkata, kadar itu selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengekalkan kadar sama.
“Penetapan kadar zakat fitrah RM7 adalah berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras super tempatan gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di Selangor,” katanya pada sidang media di ibu pejabat LZS di sini.
Bagaimanapun umat Islam yang berkemampuan menunaikan zakat fitrah boleh menunaikan tanggungjawab itu mengikut harga beras yang dimakan setiap hari bagi diri dan keluarga.
“Kadar zakat fitrah kepada berkemampuan adalah sebanyak RM14 seorang bagi individu yang memakan beras putih import, beras perang, beras pulut, herba ponni atau beras wangi.
“Manakala bayaran RM21 seorang pula bagi individu yang memakan beras basmathi, beras jepun atau beras merah,” katanya.
Dalam pada itu, bagi mengambil kira situasi wabak Covid-19 dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya telah menyediakan pelbagai platform pembayaran di dalam talian melalui lima jenis transaksi.
“Orang ramai boleh membuat pembayaran melalui EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my.
“Zakat juga boleh dibuat melalui perbankan internet di sembilan bank iaitu Public Bank, Hong Leong Bank, Maybank, CIMB, Ambank, Bank Rakyat, RHB, Bank Islam dan Alliance Bank.
“Selain itu, mereka boleh melayari portal MyEG, Pos Online dan aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost untuk menunaikan kewajipan itu,” katanya.
Selain itu, LZS juga membenarkan orang ramai untuk membuat pembayaran fidyah secara dalam talian bagi mematuhi kawalan pergerakan untuk mengelakkan penularan Covid-19.
“Masyarakat Islam boleh membuat pembayaran fidyah yang pertama kali diperkenalkan Lembaga Zakat Selangor di EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
KOMEN