Home » Langit Terbuka » Jubli Emas 50 tahun Yadim: Umat Islam diseru bersatu, perkukuh dakwah di Malaysia

Jubli Emas 50 tahun Yadim: Umat Islam diseru bersatu, perkukuh dakwah di Malaysia

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan terus memperhebat usaha dakwah di negara ini, satu komitmen yang selari dengan sambutan ulang tahun ke-50 Yadim yang disambut pada tahun ini.

Menurut Yang Dipertuanya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, usaha dakwah tersebut tidak hanya terbatas dalam mengajak orang memeluk Islam, malah ia boleh diterjemahkan menerusi keindahan Islam itu sendiri.

Jelasnya, pendekatan dakwah yang diambil Yadim perlu disesuaikan selari dengan peredaran zaman yang dilihat semakin berkembang lebih-lebih lagi dalam teknologi penerangan dan perhubungan.

“Dakwah jangan kita fikir hanya untuk mengajar orang masuk Islam tetapi kita kembangkan juga iaitu dengan menunjukkan keindahan Islam kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa dan keturunan.

“Hasilnya, akan timbul rasa sayang dan hormati maka pintu hidayah itu akan terbuka seluasnya kepada sesiapa yang melihat keindahan Islam itu sendiri.”

“Dari sudut media Yadim itu sendiri, saya percaya ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai TikTok mengikuti video-video ringkas dan menarik yang kami persembahkan di TikTok Yadim.

“Kita bercakap soal hukum-hakam, keadaan Islam, perkara berkaitan permasalahan umat dan yang paling penting kita sudah hampir bulan Ramadan, insya-Allah kita akan lonjakkan lagi aktiviti ini,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif sempena Jubli Emas 50 tahun Yadim di sini, baru-baru ini.

Mengulas mengenai sambutan Jubli Emas 50 tahun Yadim, beliau mengajak orang ramai untuk hadir ke Masjid Putra, Putrajaya pada 24 Januari ini bagi memeriahkan sambutan ulang tahun tersebut.

“Yadim mempelawa seluruh umat Islam untuk sama-sama hadir ke masjid tersebut kita berdoa bermunajat kepada Allah agar usaha dakwah selama 50 tahun ini akan diberkati.

“Kita adakan satu majlis duduk bersama dengan anggota masyarakat, program selawat, majlis ilmu malah kita akan jemput agensi lain seperti KPDN yang mana mereka akan bawa pelbagai barang untuk dipasarkan dengan harga yang menarik bagi menarik pengunjung,” katanya.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, Yadim juga komited dalam memastikan konsep Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat diterapkan dalam usaha dakwah di Malaysia.

Beliau percaya, segala urusan dakwah dan agama yang dikelola oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, akan terus mendapat dukungan daripada Perdana Menteri selaku Timbalan Pengerusinya.

“Bila kita sebut mengenai Madani, ia adalah aspirasi daripada Madinah dan di situ adanya akidah sebab Nabi Muhammad sendiri menyeru manusia ke jalan Allah tetapi (usaha dakwah) itu tidak mengganggu proses untuk melaksanakan elemen perpaduan, masalah ekonomi dan sosial. Itu adalah kebijaksanaan Nabi, agama tetap dipertahankan.

“Perdana Menteri sebagai Timbalan MKI akan sama-sama memastikan dasar Islam terpelihara dan tidak mungkin urusan yang boleh merosakkan agama itu boleh diceroboh.

“Sungguhpun begitu, dalam usaha-usaha itu tetap ada musuh-musuh yang tidak suka, tidak faham dan keliru.

“..Contoh isu LGBT, Perdana Menteri telah menegaskan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf LGBT kerana ia adalah salah dari segi undang-undang.

“Malah Sultan Selangor sendiri telah memuji pendirian Perdana Menteri kerana tidak mengiktiraf LGBT serta konsep negara sekular,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, sempena ulang tahun ke-50 Yadim, Hasanuddin berharap seluruh umat Islam di negara ini akan bersatu tanpa mengira bangsa mahupun fahaman politik.

“Kita mengharapkan agar cita-cita untuk menyatukan seluruh umat Islam pelbagai parti politik serta gerakan dan sebagainya.

“Yang penting kesediaan untuk mengekalkan kasih sayang, hormat menghormati, dan tidak mementingkan kepentingan peribadi (kerana) itulah yang menghalang kita semua seluruh rakyat Malaysia untuk bergabung dan bersatu,” katanya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *