SABAN tahun menjelang Ramadan, lebih sejuta manusia akan mengunjungi sebuah masjid yang berusia lebih 160 tahun di Istanbul, Turki.
Ramai yang mungkin bertanya, mengapa masjid tersebut yang dikenali dengan nama Masjid Hirka-i Sharif menjadi perhatian umat Islam setiap kali menjelang Ramadan sedangkan Turki terkenal dengan begitu banyak masjid yang mempunyai seni bina yang memukau.
Mereka yang pernah mengunjunginya pasti mengetahui rahsia sebenar kerana di situlah tersimpannya artifak yang dianggap antara yang paling berharga dalam warisan dunia Islam, lapor TRT.
Ini kerana di situlah tersimpannya sehelai jubah yang dikatakan sesetengah pihak adalah peninggalan insan pilihan paling agung di muka bumi iaitu Rasulullah SAW yang masih utuh tersimpan rapi sehingga ke hari ini.
Jubah itu yang dipanggil dengan nama Hirka-i Sharif itu dipercayai merupakan pemberian Rasulullah SAW kepada salah seorang pemuda terbilang yang pernah disebut baginda semasa hayatnya yang bernama Uwais Al-Qarni sebagai hadiah.
Dilaporkan lebih 20,000 umat Islam mengunjungi masjid berkenaan setiap hari untuk melihat jubah itu ketika Ramadan.
Sejak itu, jubah tersebut terus berada dalam jagaan keluarganya dan diwariskan kepada keturunan beliau sehingga ke hari ini yang kini dikatakan telah sampai ke generasi ke-59.
“Kami sedang menjalankan misi yang sangat mulia,” kata Baris Samir, keturunan ke-59 Uwais Al-Qarni.
Jelas Samir, pada tahun 1851, Sultan Abdulmecid memerintahkan pembinaan masjid dan bulatan Hirka-i Sharif di sebelah masjid tersebut di mana jubah itu kini berada.
“Kami menganggap bulatan Hirka-i Sharif (di Masjid) sebagai tempat yang istimewa. Tempat orang rasa dekat dengan dia.
“Ia menggembirakan kami melihat kami adalah wahana hubungan rohani antara Nabi dan manusia,” katanya.
Dalam hadith sahih dan sebahagian riwayat, kisah Uwais Al-Qarni sememangnya masyhur dan disebut oleh Rasulullah SAW sekalipun pemuda itu belum lagi muncul dan tidak pernah berjumpa dengan Rasul terakhir itu ketika hayat baginda.
Baginda pernah menceritakan tentang kemustajaban doa Uwaish yang tidak pernah ditolak oleh Allah SWT disebabkan ketaatan luar biasa pemuda berkenaan kepada ibunya.
Bagaimanapun Uwaish yang berasal dari Yaman dikatakan hanya muncul di Madinah ketika Rasulullah SAW telahpun wafat iaitu ketika zaman Umar Al-Khatab RA.
Rasulullah pernah memerintahkan sahabat-sahabat baginda agar meminta Uwaish memohon keampunan untuk mereka seandainya ditakdirkan berjumpa dengannya.
Cerita pemberian jubah tersebut kepada Uwaish yang berada di masjid tersebut telah dikisahkan oleh sebahagian ahli tasawuf sufi yang mendakwa kedua-dua mereka telah bertemu secara rohani. – Astro Awani
KOMEN