PUTRAJAYA- Jabatan Perdana Menteri sedang merangka 5 kertas kerja berkaitan Covid-19 bagi solat Jumaat dan aktiviti keagamaan untuk dibentang di Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berhubung penularan wabak koronavirus itu.
Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad berkata kertas kerja itu, yang juga akan menyarankan panduan berkaitan, akan siap dalam masa 2 atau 3 hari lagi.
“Ini termasuk bersalaman, kenduri kahwin dan pengurusan jenazah…beberapa saranan akan kita kemukakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri suatu majlis di Dewan Solat Utama, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Pagi tadi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik, menegaskan penularan dan keadaan wabak yang sangat membimbangkan.
Mengenai solat Jumaat, Zulkifli berkata JPM akan mengeluarkan beberapa saranan bagi mengurangkan risiko jangkitan, seperti pemilihan kawasan yang selamat, mengambil wuduk di rumah dan memendekkan khutbah.
“Pihak masjid perlu sediakan cecair pembasmi kuman dan perhimpunan dilakukan di tempat yang tidak terlibat dengan Covid-19,” katanya. – FreeMalaysiaToday
KOMEN