Home » Langit Terbuka » Johor Peruntuk RM450,000 Untuk 9 Sekolah Cina

Johor Peruntuk RM450,000 Untuk 9 Sekolah Cina

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian

KLUANG – Kerajaan Johor memperuntukkan RM450,000 tahun ini untuk disalurkan kepada sembilan sekolah menengah persendirian Cina di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Beliau berkata, sekolah berkenaan adalah Sekolah Tinggi Persendirian Chong Hwa di Muar; Sekolah Menengah Persendirian Pei Hwa di Tangkak; Sekolah Tinggi Chong Hwa, di sini; Sekolah Tinggi Yong Peng dan Sekolah Tinggi Persendirian Pei Chun di Pontian.

Sekolah lain ialah Sekolah Tinggi Cina Batu Pahat; Sekolah Tinggi Chong Hwa Rengit, Sekolah Menengah Foon Yew di Kulai serta Sekolah Menengah Foon Yew di Johor Bahru, yang masing-masing menerima RM50,000, katanya.

“Saya mengambil kesempatan untuk mengumumkan beberapa perkara demi kebaikan bersama sebagai sumbangan dan juga oleh-oleh yang bukan sahaja untuk Sekolah Chong Hwa, bahkan beberapa sekolah lain.

“Kami (kerajaan Pakatan Harapan) akan cuba menunaikan janji pilihan raya kami secepat mungkin. Yang paling penting sekali, kami tidak akan mengabaikan sesiapa yang berjuang bersama untuk membina semula negara kita.

“Tanpa sekolah-sekolah yang terus membuka minda para pelajar, menanam benih minda yang betul kepada pelajar, kita tidak akan mempunyai masyarakat yang membuat keputusan bijak buat negara ini,” katanya berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Sekolah Menengah dan Rendah Chong Hwa Kluang, di sini, malam tadi.

Osman berkata, Sekolah Menengah dan Rendah Chong Hwa Kluang, yang ditubuhkan pada 1918 iaitu ketika Perang Dunia Pertama baru tamat, mempunyai banyak sumbangan kepada masyarakat.

Beliau berkata, ketika corak peralihan dunia masih belum jelas, namun, Sekolah Chong Hwa telah mula menanam benih untuk membentuk generasi akan datang.

“Peribahasa Cina ada menyebut, ‘tanam sepohon pokok, akan menikmati redupnya sepuluh tahun kemudiannya. Bina sebuah sekolah, akan membentuk masyarakat 100 tahun kemudiannya’.

“Maksud peribahasa tersebut jelas bahawa dasar pendidikan yang kita gubal hari ini akan memberi impak kepada generasi akan datang 100 tahun nanti. Justeru, saya berharap Sekolah Chong Hwa Kluang akan terus menjadi model dalam bidang pendidikan,” katanya. – ISMAWEB ONLINE

https://www.ismaweb.net/2018/07/02/johor-peruntuk-rm450000-untuk-9-sekolah-cina/

Artikel Berkaitan

JHEAIK pantau pergerakan GISBH di Kedah

Alor Setar: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sentiasa memantau pergerakan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang beroperasi

Roti jenama Ikhwan tiada sijil halal – JAKIM

KUALA LUMPUR: Produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *