Home » Langit Terbuka » ‘Jiwa tenang selepas memeluk Islam’: Tian Chuan

‘Jiwa tenang selepas memeluk Islam’: Tian Chuan

Lee Tian Chuan, 44, dari Kota Bharu. - Foto Karangkraft

KOTA BHARU – Memiliki kehidupan yang mewah hasil ‘rompakan’ terhadap hak orang lain tidak pernah menjadikan jiwanya tenang sehinggalah dia menerima hidayah untuk memeluk agama Islam.

 

 

Lee Tian Chuan, 44, yang berasal dari Kota Bharu berkata, dahulunya dia terlibat dalam pelbagai perniagaan haram antaranya penjualan cakera padat (CD) cetak rompak, rokok dan minuman keras yang di seludup dari negara jiran.

 

Dia berkata, ketika itu harta benda dan wang ringgitnya melimpah-ruah serta melalui kehidupan yang senang-lenang dengan mencuri hasil titik peluh orang lain.

 

“Masa tu saya banyak duit, selalu minum dan mabuk-mabuk.

 

“Malam minum, selepas itu mabuk.

 

“Esok bangun minum lagi dan mabuk lagi.

 

“Setiap hari ulang benda sama macam tidak berkesudahan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Kelantan di sini baru baru ini.

 

Tian Chuan sebelum itu menyertai Program Pengajian Islam Digital BeDaie yang turut dihadiri Pengasas BeDaie, Muhammad Amar Mirza Abd Kadir Jailani dan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia Kelantan, Dr Johari Yap.

 

Kata lelaki bertatu di bahagian kiri lehernya itu, ibu bapanya sudah meninggal dunia dan ketika itu dia hidup bersendirian di sebuah rumah yang terletak berhadapan dengan sebuah surau di Kampung Wakaf Stan menyebabkan dia dapat mendengar laungan azan setiap kali masuk waktu solat fardu.

 

“Saya selalu tengok orang Islam sembahyang, teratur dan mengikut waktu.

 

Kehidupan mereka bahagia walaupun bersederhana berbanding saya yang banyak duit tetapi hati saya sunyi dan jiwa saya tidak tenteram.

 

“Saya ambil masa dua tahun membaca dan mengkaji tentang Islam di internet, akhirnya Alhamdulillah saya membuat keputusan untuk mengucapkan dua kalimah syahadah pada 6 Disember 2013,” katanya.

 

Menurutnya, sejak itu, bermulalah kembara hidupnya sebagai seorang muslim yang mula perlahan-lahan belajar mengaji al-Quran, sembahyang serta meninggalkan kegiatan dan perniagaan haram.

 

Tian Chuan mengekalkan nama asalnya dan bertemu jodoh dengan wanita pilihan hati, Nur Fazilah Hamzah, 31, pada tahun 2020 serta kini dikurniakan seorang cahaya mata yang berusia dua bulan.

 

“Sekarang, saya ada keluarga dan berniaga susu yorgurt untuk menyara kehidupan kami, walaupun tidak semewah dulu tetapi saya berasa tenang selain tidak putus-putus menerima rezeki yang halal,” katanya.

 

Mengulas mengenai tatu di lehernya itu, dia berkata, tatu bercorak seni itu dibuat semasa belum memeluk agama Islam dan dia sudah merujuk para ilmuan bahawa hukumnya tidak perlu dibuang kiranya menyebabkan mudarat. – Sinar Harian

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *