Home » Langit Terbuka » Jihad songsang Daish

Jihad songsang Daish

SEREMBAN: Daish adalah ciptaan musuh Islam yang bersekongkol dengan Yahudi Zionis dan mereka pengkhianat agama kerana tujuan utamanya menghapuskan Mujahidin sebenar, kata penceramah bebas merangkap Pengerusi Green Project Kapten (B) Mohd Asri Abdul Khalek.

Bekas Pegawai Staf 3 Dakwah, Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) itu berkata, Daish membabitkan kelompok Khawarij, Bashar al-Assad (Syria), Hezbollah (Iran) dan ejen Yahudi.

“Mereka juga terdiri daripada individu yang mahu berjuang tetapi tersalah masuk kumpulan. Kumpulan ini berasal dari al-Qaeda di Iraq yang ekstrem namun kehadiran Daish jauh lebih kejam,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas muka depan Harian Metro semalam berhubung pengakuan dua wanita Malaysia yang mahu bergelar srikandi Islam dan bersuamikan Mujahidin akhir zaman melalui laman sosial, namun akhirnya cinta yang dicari mendorong mereka menyertai Daish.

Mohd Asri berkata, biarpun nama asal Daish bersandarkan Islam, namun karakter perjuangan tidak menampakkan akhlak, kefahaman, pendekatan syariah, kasih sayang dan adab di medan perang yang baik.

“Kehadiran Daish memburukkan wajah Islam dan perjuangan membebaskan Syria serta Iraq. Strategi diguna pakai hanya alasan campur tangan kuasa asing seperti Russia, Amerika Syarikat, Iran serta kelompok pengganas fahaman Syiah,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Pengajian Islam dari Universiti Mu’tah, Jordan itu berkata, semua negara kuasa besar dunia yang memasuki Iraq dan Syria memberi alasan menentang Daish sebaliknya membunuh Mujahidin sebenar yang melindungi rakyat.

“Daish ditolak kebanyakan ulama dunia termasuk Kesatuan Ulama Sedunia dan Rabitah Ulama as-Syam.

“Kejayaan diraih kumpulan itu secara tiba-tiba dan cepat menimbulkan tanda tanya, adakah ia kejayaan yang betul atau sengaja diberi ‘laluan’ oleh pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan, Daish ciptaan musuh Islam semata-mata yang mahu menghapuskan Mujahidin bagi memastikan syariat Islam tidak dapat ditegakkan.

“Perkara mengecewakan adalah dalam segelintir umat Islam yang jahil, Daish dianggap wira. Anggapan sebegini menyebabkan ramai anak muda seluruh dunia termasuk Malaysia mudah terpengaruh untuk direkrut.

“Malangnya semangat memperjuangkan Islam tidak berlandaskan ilmu yang betul dan akhirnya tujuan jihad serta dakwah terpesong.

“Kerosakan berlandaskan kejahilan ini terserlah apabila Daish menyebabkan banyak nyawa terkorban, malah menganggap nyawa orang bukan Islam boleh diambil sewenang-wenangnya,” katanya.

Lebih malang, katanya, ada wanita termasuk dari Malaysia yang terpengaruh dengan Daish kononnya dijanjikan syurga sekiranya bersuamikan pejuang. – HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *