Home » Langit Terbuka » Jenazah Fadi akan dikebumi di Palestin

Jenazah Fadi akan dikebumi di Palestin

DUTA Palestin di Malaysia, Datuk Dr Anwar H. Al Agha (tengah) menjelaskan tentang situasi sebenar proses jenazah Pensyarah Palestin, Dr Fadi M R Albatsh. Foto BERNAMA

GOMBAK: Duta Palestin ke Malaysia, Datuk Dr Anwar Al Agha mengesahkan jenazah Imam Palestin, Dr Fadi Mohammed Al Batsh akan dibawa pulang dan dikebumikan di tanah kelahirannya, Palestin.

Menurutnya, kedutaan Palestin sedang dalam proses melengkapkan segala borang dan prosedur untuk membawa pulang jenazah Fadi sepertimana yang dimohon oleh keluarganya.

“Kedutaan juga telah berhubung terus dengan keluarga Fadi di Palestin setelah mereka memohon agar jenazah Fadi dibawa pulang ke Palestin.

“Bagaimanapun kita harus menghormati undang-undang di Malaysia, jadi kita perlu patuhi prosedur yang perlu dilalui bagi memudahkan urusan penghantaran pulang jenazah ke sana.

“Justeru, proses ini mungkin mengambil sedikit masa memandangkan ia melibatkan pelbagai pihak termasuk Mesir dalam urusan ini,” katanya dalam sidang media sewaktu hadir ke Unit Forensik Hospital Selayang, Ahad.

Pengesahan berkenaan bermakna jenazah Fadi tidak akan dikebumi di Malaysia, yang pada awalnya dijangka dikebumikan pada Ahad.

Selain itu, Anwar memberitahu, kematian Fadi akibat ditembak pada awal pagi Sabtu lalu serta permintaan keluarganya, turut mendapat perhatian Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Katanya, Mahmoud kemudiannya telah mengarahkan Kedutaan Palestin di Malaysia menyelesaikan segala urusan dan keperluan bagi penghantaran pulang jenazah Fadi bersama isteri dan tiga anaknya.

Sementara itu, mengulas berhubung suspek kejadian, Anwar menjelaskan pihaknya yakin dengan kemampuan dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan individu yang menembak mati Fadi.

“Kita serahkan perkara itu kepada pihak berkuasa di Malaysia dan kita yakin dengan keupayaan pasukan polis Malaysia untuk mengesan pelaku yang bertanggungjawab.

“Kedutaan juga yakin polis Malaysia mampu siasat dan menyelesaikan kes ini seterusnya membawa individu terbabit ke muka pengadilan,” katanya. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *