MEKAH 24 Mei – Arab Saudi memberi jaminan mereka akan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada para jemaah ketika menjalankan ibadah umrah dan pelawat ke Masjidil Haram kelak.
Lapor portal Arab News, jaminan itu disuarakan oleh Gabenor Mekah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Haji Pusat, Putera Khaled Al-Faisal ketika menghadiri mesyuarat bersama Naib Gabenornya, Putera Bandar Abdullah bagi membincangkan persediaan kerajaan sempena bulan Ramadan bakal menjelang.
Selain itu, Kementerian Haji turut membentangkan perancangan operasinya pada bulan Ramadan, termasuk pembangunan sistem automatik di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz dan Pelabuhan Jeddah bertujuan merekodkan segala kelemahan yang berlaku serta melaporkan kepada syarikat umrah.
Projek itu juga akan menubuhkan pemantauan secara atas talian yang dihubungkan dengan rangkaian kawalan di Mekah dan Madinah.
Di samping itu, persediaan ketika bulan Ramadan yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi merangkumi mengawal selia imam, bekerjasama dengan pihak berkuasa keselamatan, menyusun aturan keluar masuk jemaah serta memastikan salinan dan terjemahan al-Quran disediakan.
Pihak pengurusan juga memastikan kebersihan, penyelenggaraan dan kemudahan, menyediakan air zamzam, menjalankan pengawasan, menjaga pintu masjid serta menjamin kenderaan pelbagai guna bagi mereka yang mempunyai keperluan khas secara percuma.
Perbandaran Mekah akan menyelia operasi dan mengekalkan infrastruktur seperti jalan, terowong, rangkaian lampu, tempat letak kereta, tandas awam, taman awam serta kawasan hijau.
Pelan ini juga termasuk menambah bilangan pekerja pembersihan dan kebersihan, melanjutkan waktu kerja mereka selain menyediakan pasukan sokongan tambahan untuk buruh serta peralatan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.- https://www.utusan.com.my
KOMEN