Home » Langit Terbuka » Jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah pagi Jumaat

Jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah pagi Jumaat

Jemaah Haji Malaysia akan bergerak ke Arafah dalam tiga kumpulan perjalanan bas iaitu pada 5.30 pagi, 7.30 pagi dan 9.30 pagi. - Foto Khotbah Jumaat.com

MAKKAH – Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia akan mula bergerak ke Arafah untuk ibadah Masyair pada awal pagi Jumaat ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, mereka akan bergerak dalam tiga kumpulan perjalanan bas iaitu pada 5.30 pagi, 7.30 pagi dan 9.30 pagi waktu tempatan dengan kira-kira 10,000 jemaah bagi setiap kumpulan.

“Disebabkan 9 Ogos iaitu 8 Zulhijjah jatuh pada hari Jumaat maka kawasan sekitar Masjidil Haram akan mengalami kesesakan kerana ini adalah hari Jumaat terakhir sebelum Wukuf yang mana semua jemaah haji akan berada di sini.

“Jadi kita gerakkan jemaah haji kita pada awal pagi kerana jalan akan mula ditutup pada 10 pagi, namun jika tidak sempat habis (menghantar jemaah) disebabkan kelewatan dan sebagainya kita akan hantar jemaah selepas jam 2 petang,” katanya kepada media di sini hari ini (4 Ogos).

Terdahulu, beliau menghadiri majlis solat hajat dan bacaan Yasin petugas Lembaga Tabung Haji (TH) bagi operasi Masyair di Mina di sini.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia yang tinggal di sembilan maktab penginapan di sini mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Syed Saleh berkata, selain itu, pihaknya akan turut menggerakkan program ‘Safari Wukuf’ iaitu membawa jemaah haji yang kini sedang dirawat di wad perubatan TH untuk berwukuf di Arafah dengan menggunakan lapan bas yang mempunyai kemudahan perubatan dan ambulans.

“Kita akan ketahui jumlahnya (jemaah haji) dalam program ini nanti, kita gerakkan jemaah haji ini pada pagi 9 Zulhijjah ini (Jumaat ini), mereka akan wukuf sebentar sekitar dua jam sebelum dibawa kembali ke pusat rawatan,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, persiapan untuk fasiliti ibadah Masyair di Arafah dan Mina terutamanya khemah untuk jemaah kini sekitar 90 peratus siap dan pihaknya yakin semua fasiliti itu akan disiapkan mengikut jadual sebelum ibadah itu bermula.

“Ada beberapa (fasiliti) belum siap seperti pemasangan kabel, pemasangan papan tanda juga langkah terakhir nanti (membawa) bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan. Semua 640 petugas haji akan terlibat dalam operasi Masyair ini,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *