IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah jemaah Malaysia harus memiliki azam untuk menjadi duta yang mengharumkan nama negara di dalam segala aspek ketika menunaikan ibadah haji.
Baginda bertitah, ia merangkumi aspek ibadah, mematuhi undang-undang dan peraturan, amanah, berdisiplin, menepati waktu, sabar dan bertoleransi, sedia membantu dan mengutamakan kebersihan.
Titah baginda, Makkah dan Madinah ialah Tanah Suci, justeru jemaah harus menghindarkan sebarang perbuatan yang boleh mencemarkan dan mengotorkan kedua-dua bandar suci itu sepanjang masa.
“Beta bersyukur mengikuti berita, bahawa selepas musim haji 1439 Hijrah (tahun lalu), pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan jemaah dari Malaysia meninggalkan tempat yang bersih selepas selesai urusan haji.
“Jemaah dari Malaysia pada tahun 1439 Hijrah meninggalkan imej yang memberikan identiti dan reputasi yang sangat positif terhadap rakyat Malaysia,” titah baginda ketika merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak Musim Haji 1440/2019 di Masjid Sultan Azlan Shah di sini.
Turut berkenan berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Zalim.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, bagi mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Setiausaha Kerajaan negeri, Zainal Azman Abu Seman.
Sultan Nazrin bertitah, imej dan identiti positif yang tercipta pada tahun lalu itu jangan dicemarkan, malah wajib dipertingkatkan.
Titah baginda, setiap jemaah perlu mengambil tanggungjawab bukan sekadar menjaga kebersihan, malah membantu untuk membersihkan bilik air, tandas, tempat makan dan tempat penginapan setelah digunakan.
Baginda bertitah, budaya mengamalkan kebersihan harus dijadikan sebahagian daripada komponen latihan, diberikan penegasan dan bimbingan secara serius ketika jemaah mengikuti kursus di sini.
Sultan Nazrin juga meminta jemaah Malaysia mengamalkan sifat persaudaraan yang sejati iaitu dengan memuliakan insan lain, memiliki sifat belas, ihsan dan kasih terhadap mereka yang uzur, lemah dan berusia lanjut.
Titah baginda, ia boleh dilakukan dengan mengutamakan, memberi laluan dan membantu mereka yang uzur, lemah dan berusia lanjut itu untuk menyempurnakan ibadah terlebih dahulu dan menghulurkan apa juga bantuan kepada mereka yang berada dalam kedaifan.
“Sehingga 18 Jun lalu, seramai 3.3 juta penabung Tabung Haji (TH) membuat pendaftaran dan menunggu giliran untuk mengerjakan ibadah haji.
“Daripada bilangan itu, seramai 115,238 orang memohon dan membuat rayuan untuk menyempurnakan ibadah haji tahun ini. Berpandukan kuota rasmi diluluskan oleh Kerajaan Arab Saudi, 30,200 tempat diberikan kepada jemaah dari Malaysia dan 2,795 orang daripadanya adalah dari Perak,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut merakamkan penghargaan kepada TH di atas perkhidmatan cemerlang yang telah berjaya dibuktikan agensi berkenaan sejak sekian lama.
Titah baginda, walaupun dilaporkan ketika ini TH sedang menghadapi cabaran besar berbentuk tadbir urus kewangan, namun cabaran itu tidak menjejaskan perkhidmatan menguruskan urusan haji, dengan terus mengekalkan segala kemudahan diperlukan untuk keselesaan jemaah.
“Hargailah perkhidmatan yang disediakan oleh TH dan berikanlah segala kerjasama kepada kakitangan mereka, bermula daripada sikap yang ditunjukkan semasa berkursus, perjalanan udara dan darat, berada di Makkah dan Madinah, sehingga perjalanan pulang selepas selesai menyempurnakan ibadah haji,” titah baginda. – Berita Harian
KOMEN