PUTRAJAYA: Jemaah haji kini boleh melakukan transaksi kewangan dengan mudah menggunakan kad debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji yang diperkenalkan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) hasil usaha sama dengan rakan strategik, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Visa.
Tiada caj akan dikenakan kepada pengguna bagi pengeluaran tunai di Arab Saudi pada musim haji.
Kad itu turut dilengkapi pelbagai keistimewaan lain dan ganjaran eksklusif untuk pemegangnya selain menawarkan rangkaian pembayaran serta akses tunai yang meluas di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, perkongsian itu sejajar dengan strategi pihaknya untuk menjalin hubungan jangka panjang bersama rakan niaga terkemuka bagi menawarkan penyelesaian pembayaran tanpa tunai dan nilai tambah kepada pelanggan.
“Berbeza dengan kad debit dikeluarkan sebelum ini, Kad Debit-i Bank Islam Visa adalah kad biorosot (biodegradable) pertama diperbuat daripada material polietilena tereftalat (PET) berkualiti tinggi yang boleh dikitar semula. Ia menjadikannya kad mesra alam pertama yang sejajar dengan hasrat kelestarian kami.
“Kad ini membolehkan pelanggan membuat pembayaran di lebih 60 juta lokasi niaga dan mendapatkan akses tunai di lebih 2.5 juta termasuk mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di seluruh dunia termasuk Arab Saudi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di sini, pada 11 Februari.
Majlis itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. – Berita Harian
KOMEN