PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menganjurkan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1444H/2022M pada 2 Ogos ini.
Jawi menerusi kenyataan akhbar berkata, majlis berkenaan akan berlangsung di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Menurutnya, program dimulakan dengan Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun 1444H pada 29 Julai ini sebelum solat fardu Maghrib serentak di semua 89 masjid, 123 surau Jumaat, dan 611 surau seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan.
“Antara pengisian utama majlis sambutan termasuk Bual Bicara Khas Ma‘al Hijrah oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah dan Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dari Universiti Malaya.
“Kedua-dua ahli panel akan mengupas topik menarik bertemakan ”Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”, yang dimoderatorkan oleh Ustaz Mohd Hariri bin Mohamad Daud dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.
Katanya, acara kemuncak pada majlis tersebut adalah pengumuman dan penyampaian hadiah kepada penerima Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Ma‘al Hijrah Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1444H/2022M bagi kategori Ilmuwan, Korporat, Pendakwah Mualaf, dan Kategori Imam.- KOSMO! ONLINE
KOMEN