Home » Langit Terbuka » Jawatankuasa khas JAKIM, PDRM kenal pasti entiti GISBH dalam, luar negara – Mohd Na’im

Jawatankuasa khas JAKIM, PDRM kenal pasti entiti GISBH dalam, luar negara – Mohd Na’im

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa bersama membabitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Polis Diraja Malaysia (JAKIM) sedang mengenal pasti semua entiti perniagaan yang dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH) sama ada dalam mahu pun luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata usaha juga sedang digerakkan untuk mengesan lebih banyak maklumat berkaitan aktiviti syarikat serta individu atau kumpulan berkaitan dengan GISBH termasuk di luar negara.

“Mengenai data statistik berhubung angka perniagaan GISBH di luar negara, kami akan bekerjasama rapat dengan pihak polis (untuk dapatkan perincian) dan akan memberikan butiran mengenai bilangan syarikat tempatan dan antarabangsa dimiliki oleh GISBH.

“Jawatankuasa antara polis dan JAKIM serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan turut mengenal pasti pengikut GISBH dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang inginkan penjelasan mengenai status syarikat dikaitkan dengan GIBSH yang bukan sahaja berada di dalam negara tetapi juga di peringkat global.

Sabtu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan jawatnkuasa khas sudah mengenal pasti 69 premis di luar negara bernilai kira-kira RM52.4 juta dimiliki GISBH di 15 negara.

Sehingga 31 Oktober, rakan strategik polis di luar negara mengesahkan lokasi 40 premis ini di empat negara.

“Kita masih dalam proses untuk mengesahkan lokasi 29 premis lagi dipercayai berada di 11 negara, bersama rakan strategik kita,” kata Razarudin.

Khamis lalu, Pengerusi MKI, Datuk Noh Gadut memutuskan ajaran, fahaman dan pegangan ahli GISBH sesat melalui keputusan dibuat dalam mesyuarat pada 24 hingga 26 September lalu.

Perkara itu dibuat selepas MKI berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan oleh penyelidik mengenai GISBH.

Selain itu, MKI mendapati ajaran dibawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan yang mempunyai kaitannya sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Sehingga kini, tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Sabah, Perlis, Pahang, Melaka dan Wilayah Persekutuan mengisytiharkan ajaran GISBH sebagai sesat selepas polis menyerbu 20 rumah kebajikan yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan September lalu.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *