Home » Langit Terbuka » Jawatankuasa Fatwa dapatkan pendapat pakar berkaitan Bitcoin

Jawatankuasa Fatwa dapatkan pendapat pakar berkaitan Bitcoin

Bitcoin dilancarkan pada 2009 oleh orang atau kumpulan orang tidak dikenali bawah nama Satoshi Nakamoto. Foto : thetechportal.com

PUTRAJAYA 6 Jan – Keputusan sama ada menghukumkan haram atau tidak terhadap penggunaan Bitcoin iaitu mata wang kripto atau digital tidak boleh dibuat secara terburu-buru sebaliknya memerlukan kajian secara menyeluruh.

Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Othman berkata, perkara berkenaan memerlukan satu kajian menyeluruh oleh pakar sebelum dibentangkan dan diputuskan di peringkat Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

“Perkara ini tidak boleh satu negeri mendahului dengan memutuskannya secara sendirian. Ia kena ada kajian menyeluruh oleh panel pakar syariah terdiri daripada profesor dilantik di peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Seterusnya hasil kajian itu dibawa ke peringkat muzakarah dihadiri mufti dan ahli dilantik. Selepas itu barulah dibawa ke peringkat negeri. Maknanya, ada tiga peringkat,” katanya ketika dihubungi HARIAN METRO.

Beliau diminta menjelaskan hukum berkaitan Bitcoin selepas Mufti Besar Mesir Shawqi Allam mendakwa penggunaan mata wang kripto itu adalah dilarang dalam Islam kerana ia boleh menjurus kepada perbuatan jenayah.

Tambah Shawqi, mata wang itu juga boleh menjadi €˜sumber kewangan yang stabil dan terjamin™ kepada pengganas dan kumpulan penjenayah ketika ini.

Bitcoin dilancarkan pada 2009 oleh orang atau kumpulan orang tidak dikenali bawah nama Satoshi Nakamoto.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, banyak aspek perlu diambil kira dalam memutuskan sesuatu hukum mengenai perkara itu dan ia tidak boleh melihat kepada sebuah negara saja.

Malah katanya, pandangan daripada negara Arab lain seperti Arab Saudi dan Kuwait juga perlu diambil kira.

“Orang ramai kena tunggu dulu keputusan yang akan dikeluarkan nanti. Cuma yang boleh dikatakan sebagai panduan secara umum bahawa dalam hadis menyatakan sesuatu yang halal dan haram itu jelas.

“Jadi, sesuatu yang kita tidak tahu sama ada halal atau haram, kita kena berhati-hati dan lebih baik dijauhi supaya tidak jatuh kepada yang haram,” katanya.- HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *