KOTA BHARU 14 Mei – Ahli Jemaah Ulamak atau jawatankuasa fatwa negeri akan berbincang pada Ogos ini untuk menilai semula pengharaman kepada persembahan kesenian Makyung di negeri ini.
Mufti negeri, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, penilaian itu akan dibuat secara telus dan lebih bermakna kepada pembangunan kesenian.
“Garis panduan kepada kesenian dan hiburan sudah ada tetapi secara khusus untuk Makyung kita akan bincangkan dalam mesyuarat jemaah ulamak pada Ogos ini.
“Kita akan bawa sebarang keputusan kepada kerajaan negeri sama ada perlu dibuat penilaian semula atau tidak,” katanya selepas menyaksikan persembahan kesenian Makyung yang berlangsung di Dewan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Rektor Aswara, Prof. Datuk. Ir. Ts. Dr Mohd Rizon Juhari dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof. Dr. Zaliman Sauli.
Pementasan seni Makyung kira-kira sejam bertajuk ‘Sindong’ oleh kumpulan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu diadakan untuk dinilai dari sudut syariah oleh Mufti dan beberapa ahli jawatankuasa fatwa negeri.
Sementara itu, Mohamad berkata, walaupun unsur pemujaan mungkin sudah dihapuskan namun ada beberapa yang perlu ditambah baik seperti dari sudut pemakaian, jalan cerita dan watak yang perlu dimainkan mengikut jantina.
“Kita perlu memandukan antara akal dengan wahyu, sebenarnya bila kita patuh kepada wahyu itulah kesenian yang sebenar.
“Sebagai contoh, kalau saya seorang pelukis dan saya melukis perempuan bogel ketika itu walaupun ia dianggap seni tetapi dari sudut Islam ia tidak dianggap sebagai seni kerana bercanggah dengan wahyu,” katanya. UTUSAN
KOMEN