Home » Langit Terbuka » Jawab ‘saya tidak tahu’ separuh daripada ilmu

Jawab ‘saya tidak tahu’ separuh daripada ilmu

Gambar Hiasan

AHLI agama daripada ulama dan ilmuwan hingga ustaz serta pendakwah menjadi rujukan umat Islam untuk mendapatkan bimbingan berkaitan hal ehwal agama yang dapat memastikan mereka selamat di dunia dan akhirat.

Namun, penyampaian ilmu agama daripada sumber meragukan dan tidak diselidiki dengan benar serta mendalam boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pendengar.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Zamri Zainal Abidin, berkata Allah SWT sebenarnya sudah meletakkan panduan kepada hamba-Nya supaya tabayyun, iaitu menyelidik dan mendapat kebenaran berita atau fakta diperoleh sebelum bertindak terhadap sesuatu perkara.

Firman Allah SWT: “Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.” (An-Nisaa’: 94)

“Dalam ayat ini, juga Allah SWT menyeru kita agar mempraktikkan satu etika, iaitu tabayyun yang memerlukan kita memastikan kesahihan maklumat apabila menerima sesuatu berita sebelum mempercayainya apatah lagi sebelum menyebarkannya.

“Rasulullah SAW pula mengingatkan umat Baginda supaya menyiasat dan menyelidik terlebih dahulu apa sahaja maklumat diperoleh sebelum menyampaikan kepada orang lain demi mengelakkan mereka tergolong sebagai pembohong,” katanya.

Hafs Ibnu Asim RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua didengarinya (tanpa tabayyun).” (Hadis riwayat Muslim)

Zamri berkata, hujah atau dalil ini merujuk kepada setiap maklumat diterima dan apa-apa maklumat yang ingin disampaikan kepada pihak lain.

“Oleh itu, penelitian dalam menerima sesuatu berita itu mestilah diambil berat bagi memastikan kebenarannya,” katanya.

Selidik berita, elak tergolong pendusta

Jelasnya, ia adalah untuk mengelak daripada berlakunya penyebaran berita palsu dan perbuatan itu akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT serta tergolong dalam golongan pendusta.

“Jika dalam isu menyebarkan berita pun kita diingatkan dengan begitu tegas, apatah lagi dalam isu menyebarkan maklumat mengenai agama, fatwa dan amalan hidup.

“Ahli agama dilihat sebagai ikon dalam masyarakat dan sering dijadikan rujukan bagi merungkai persoalan timbul dalam hidup mereka khususnya dalam bab hukum, ibadah dan ikutan sunnah junjungan besar Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau berkata, penelitian dalam menyampaikan sesuatu fakta, sunnah, sirah dan pandangan ulama itu mestilah diambil berat ahli agama bagi memastikan kesahihannya.

“Teliti dalam menyampaikan maklumat hal ehwal agama juga diperlukan untuk mengelak daripada terbabit dengan penyebaran berita palsu kerana perbuatan ini akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT serta tergolong dalam golongan pendusta.

“Jika silap menyampaikan maklumat salah, maka ia akan mengakibatkan kemudaratan kepada umat keseluruhan yang beramal dengan maklumat tidak betul itu.

“Rasulullah SAW juga mengingatkan kita dengan keras dan tegas berkaitan sifat kegopohan menyampaikan berita dan maklumat tentang Baginda,” katanya.

Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” (HR Bukhari)

Kena adil tak kira ustaz, pempengaruh

Beliau berpesan ahli agama sama ada bergelar ustaz, ustazah atau gelaran lain, tidak kira bertaraf pempengaruh atau tidak, seharusnya bertindak dalam neraca keadilan, iaitu meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.

“Berbicaralah sesuatu yang kena pada tempatnya, betul dalam konteksnya selain memastikan kesahihan maklumat yang hendak disampaikan itu.

“Ahli agama juga hendaklah mengelak daripada mengulas dan memberi maklum balass terhadap soalan yang bukan dalam bidang kepakarannya.

“Benar kita pernah belajar atau membaca maklumat mengenai soalan diajukan, tetapi kita pastinya tidak begitu mendalam dalam selok belok disiplin ilmu yang bukan kepakaran kita berbanding mereka menumpu khusus dalam bidang berkenaan,” katanya.

Zamri turut memberikan contoh qari dan imam terkenal dari Kuwait, Sheikh Misyari Rashid al-Afasy yang sentiasa mengelak daripada menjawab soalan bukan bidang kepakarannya sedangkan beliau memang seorang boleh digelar ‘selebriti’ dan dikenali di seluruh dunia Islam.

“Dalam surah Al-Isra’ ayat ke-36, Allah SWT juga melarang hamba-Nya bercakap sesuatu tanpa ilmu mengenainya,” katanya.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya mengenai apa dilakukannya.” (Al-Isra’: 36)

“Ayat ini memberi peringatan supaya kita tidak memperkatakan apatah lagi bertindak dengan apa yang kita tidak ada ilmu tentangnya. Lebih-lebih lagi dalam perkara agama dan hukum-hakam.

“Ini kerana Islam adalah agama berlandaskan ilmu dan fakta, bukan dongeng dan mitos semata-mata serta amat menekankan sifat amanah khususnya dalam menyampaikan ilmu agama,” katanya.

Perlu amanah sampaikan ilmu agama

Jelasnya, sifat amanah dan tabligh adalah sifat wajib bagi Nabi atau Rasul yang menunjukkan tugas menyampaikan ilmu ialah tugas berat.

“Seseorang itu perlu amanah dalam menyampaikan ilmu agama dan bertanggungjawab dengan apa disampaikannya, selain hanya menyampaikan ilmu mengikut kadar kemampuannya sahaja.

“Sekiranya terdapat persoalan tidak diketahui jawapannya, maka ahli agama perlu jujur dan tidak menjawabnya tanpa didasari dengan ilmu.

“Jangan malu untuk mengatakan ‘saya tidak tahu’ atau ‘ini bukan bidang saya’ kerana ia juga separuh daripada ilmu. Sebaliknya, mohonlah kepada si penanya untuk merujuk soalan tersebut kepada ahlinya,” katanya.

Firman Allah SWT: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (An-Nahl: 43)

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *