SUNGAI PETANI – Jasa seorang polis bantuan, Zaidi Salleh yang menyelamatkan seorang wanita daripada mati lemas selepas terjun dari Jambatan Abdul Halim Muadzam Shah (JAHMS) pada 18 April lalu, diberikan penghargaan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Sumbangan dan sijil penghargaan itu telah disampaikan oleh Pengarah YADIM Zon Utara, Hafsah Husain dalam satu majlis ziarah yang diadakan pada bulan Ramadan lalu.
“Ziarah kasih ini dilaksanakan bagi memberikan penghargaan kepada Zaidi yang telah menunjukkan keberanian yang luar biasa sehingga sanggup menggadai nyawa sendiri untuk menyelamatkan wanita berkenaan.
“Tindakan beliau adalah satu contoh yang sangat baik kepada seluruh anggota masyarakat bagi turut sama menerapkan nilai-nilai murni seperti prihatin terhadap orang lain, bertanggungjawab serta tidak mementingkan diri sendiri,’’ katanya.
Beliau berkata, orang-orang seperti Zaidi ini patut ditonjolkan kepada masyarakat agar ia dapat dicontohi lebih-lebih lagi kepada generasi muda yang mungkin semakin luntur sifat-sifat keprihatinan mereka dalam memberikan bantuan kepada orang lain.
Menurutnya, jasa dan pengorbanan Zaidi ini sangat diharga dan perlu dijadikan tauladan agar masyarakat sentiasa mengamalkan sikap saling mengambil berat sesama insan.
Dalam kejadian pada 18 April lalu, Zaidi sanggup menggadai nyawa terjun dari ketinggian hampir 20 meter bagi menyelamatkan seorang wanita yang cuba membunuh diri dari Jambatan Abdul Halim Muadzam Shah (JAHMS) pada 18 April lalu.
Dalam kejadian jam 11.05 pagi itui, wanita berusia 28 tahun itu dikatakan meletakkan kenderaan yang dipandunya di bahu kiri jalan di Kilometer 9.9 jambatan terbabit sebelum terjun ke laut.
Bagaimanapun, perbuatannya disedari seorang polis bantuan yang sedang membuat kerja-kerja rondaan di atas jambatan itu.
KOMEN