Jarum halus orientalis yang menusuk masuk ke dalam pemikiran kumpulan G25 semakin ketara sehingga mereka sanggup untuk meruntuhkan institusi agama dalam negara.
G25 jika dilihat dari perspektif pemikirannya jelas terpengaruh dengan wawasan orientalis yang cuba menggunakan metodologi pentafsiran al-Qur’an berdasarkan rasionaliti dan teori empirikal yang tidak mempunyai kaitannya dengan sebab akibat sesuatu ayat itu diturunkan, dan dalam Islam ia dikenali sebagai asbabun nuzul.
Memang Islam mencegah setiap orang untuk membuka aib orang lain, tetapi tidak dalam konteks perundangan yang tujuannya mencegah manusia membabitkan diri dalam aktiviti mungkar dan maksiat.
Islam mempunyai dua kaedah mencegah sesuatu perbuatan atau tindakan yang dianggap melampau kerana tindakan sedemikian akhirnya menjatuhkan maruah manusia sendiri. Keadah pertama ialah membersihkan diri menerusi ritual ibadat dengan falsafahnya mendisiplinkan manusia dari dalam. Kaedah kedua sebagai kawalan dari luar, iaitu dengan mewajibkan pemberian nasihat dan dikenakan hukuman menerusi proses pembicaraan yang adil.
Dalam kaedah pertama, Islam menjadikan prinsip hubungan dengan Allah SWT sebagai teras yang tidak boleh diketepikan sama sekali. Mengetepikan hubungan dengan Allah SWT akan menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam, kerana itulah ia diistilahkan sebagai perbuatan syirik dan mendustai Allah SWT. Tindakan tersebut turut dikategorikan sebagai zalim.
Kawalan luaran menerusi undang-undang atau syarie dilaksanakan selepas kemaksiatan yang dimaksudkan mempunyai bukti yang kukuh. Sebab itulah seseorang yang melakukan zina, dari segi hukumnya wajib dikenakan tindakan yang lebih berat, termasuk rotan ataupun sula. Inilah yang cuba dihalang oleh para orientalis atas alasan hak peribadi dan bertentangan dengan hak asasi manusia.
G25 walaupun secara jelasnya masih belum memperlihatkan sikap terhadap kumpulan tertentu yang inginkan pengiktirafan terhadap seks songsang, seks luar nikah, aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender, cadangan terakhirnya agar tidak mendakwa atau dikenakan tindakan terhadap perbuatan zina atas alasan ia tidak berlaku di tempat awam, ia berlaku di rumah sendiri ataupun kawasan yang diistilahkan sebagai “protected area”.
Menurut lojik G25, tindakan memasuki premis tersebut adalah melanggar privasi dan berzina dalam rumah sendiri bukanlah satu kesalahan berdasarkan prinsip kesukarelaan antara kedua pihak terbabit. Alangkah tololnya pandangan tersebut kerana tidak mengambilkira kenapa Allah SWT mencipta lelaki dan perempuan sebagai pasangan yang saling memerlukan asalkan diikat dengan pernikahan yang sah.
Mungkinkah kumpulan G25 ingin menyembunyikan “dosa sendiri”? Ia menjadi persoalan menarik berdasarkan maksud peribahasa Melayu yang terkenal, masakan ada asap jika tidak ada apinya. Kalaulah seseorang itu berjuang untuk mempertahankan sesuatu yang pernah dianggap salah, kemungkinan tetap ada bahawa mereka juga termasuk dalam kalangan yang tidak menghormati prinsip agama, atau pernah melakukan dosa yang sama. Itulah antara andaian kesimpulan yang bermain dalam minda sebahagian daripada masyarakat Islam di negara itu, tetapi bagi mereka yang terpengaruh dengan prinsip kebebasan barat, ia bukan suatu tindakan yang berdosa.
Sebelumnya, umat Islam dan institusi diserang oleh banyak pihak yang mengiktiraf kebebasan individu sehingga sanggup berdalih bahawa “tiada paksaan dalam beragama”, kerana agama itu adalah satu pilihan sebagaimana yang difahami oleh orientalis. Dalam Islam, bila seseorang itu memilih ianya sebagai pegangan, maka seseorang itu tidak ada pilihan mengamalkannya; wajib beribadat kepada Allah SWT dan menyekutukannya. Seseorang itu dikatakan terkeluar daripada Islam apabila melakukan dosa besar dan balasannya amat dahsyat sekali. Ia dianggap satu perbuatan yang zalim; zalim kepada diri sendiri dan juga orang lain.
G25 yang menentang pentakrifan zina jika sepasang kekasih ataupun lelaki dan perempuan yang bukan muhrim melakukannya secara tertutup atau di rumah sendiri kerana berpandukan prinsip kebebasan individu yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Atas pemerhatiannya, apabila pihak berkuasa menangkap mereka yang berzina secara sukarela di premis persendirian akan menyebabkan yang melakukannya dimalukan atau menerima aib, kerana bagi beliau keaiban seseorang tidak wajar berlaku.
Betapa ceteknya pemikiran G25 mengenai definisi aib dan jaminan kebebasan. Jika alasan yang sama boleh digunakan, bermakna seseorang yang membunuh dengan sengaja orang lain, ia juga boleh dibebaskan tanpa sebarang dakwaan, pembunuh membunuh dengan alasan mempraktikkan prinsip kebebasan yang dijamin oleh undang-undang. Sebenarnya, prinsip sedemikian tidak berlaku di mana-mana peradaban, kecualilah kebenaran berzina dalam kalangan pengagum orientalisme.
Tidak cukup dengan menyerang penguatkuasaan undang-undang Islam yang dilaksanakan oleh agensi agama, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Atas prinsip bertindih fungsi ketua agama, iaitu Raja-Raja Melayu dan Yang di Pertuan Agong, maka JAKIM perlu dimansuhkan walaupun pada asasnya, institusi tersebut merupakan badan operasi yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Malaysia. Golongan ini sengaja menempah kontroversi dan mahukan dirinya dianggap pejuang berasaskan landasan yang salah, jijik dan jelek.
Makna moral yang mereka faham adalah berbeza dengan prinsip moral yang diletakkan oleh Islam. Mereka sebenarnya sudah jauh tersasar, kadangkala ingin berlagak bijak sedangkan tindakan tersebut masih terlalu jauh daripada makna kebijaksanaan. Kiblat pemikiran mereka telah jauh terpesong sehingga melihat usaha memperkasakan peraturan Islam sebagai halangan kemanusiaan dan kebebasan.
JAKIM, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YAPEIM) dan Tabung Haji menjadi sasaran kritik walaupun institusi tersebut telah berjaya mentakrifkan kemaslahatan ummah agar tidak terus terjerumus dalam kehidupan yang bobrok. JAKIM diserang kerana menyekat kebebasan manakala YAPEIM dibelasah menyeleweng sumber dana yang disumbangkan oleh orang ramai (menerusi derma dan potongan gaji) untuk kepentingan peribadi dan mutakhir, seorang pendakwah popular mengaitkan kouta haji dengan apa yang berlaku ke atas 1MDB. Kononnya, sebahagian sumber kewangan 1MDB adalah daripada wang caruman bakal haji telah menyebabkan Tabung Haji kekurangan wang dan akhirnya tidak mampu menguruskan lebih ramai orang ke Mekah.
Sebelum ini, JAKIM diserang oleh bukan Islam dengan menuduh mempromosikan ekstremisme menerusi salah satu khutbah Jumaat dalam laman tweeter. Peguam yang mewakili pertubuhan Lawyers for Liberty, Eric Paulsen telah membangkitkan kemarahan masyarakat Islam kerana beliau sebenarnya tidak memahami konteks isi kandungan dan fungsi khutbah Jumaat sebagai wahana komunikasi.
Kumpulan yang memusuhi Islam berusaha untuk meruntuhkan apa sahaja institusi yang berkaitan dengan Islam. Mereka sanggup melakukan apa sahaja, termasuk mendorong pekerja untuk membocorkan rahsia atau maklumat dalaman untuk kepentingan tersebut sebagaimana berlaku ke atas YAPEIM.
Apabila institusi Islam berhadapan dengan krisis keyakinan, kumpulan berkenaan boleh berlagak seperti whistleblower. Mereka boleh berbangga dengan kejayaan, tetapi yang malangnya umat Islam sendiri. Islam akan terus diperkotak-katikkan (distortion) dan dibelasah dengan sokongan oleh orang Islam sendiri yang sudah kehilangan kiblatnya, terpengaruh dengan gerakan liberal yang dianjurkan oleh orientalis tanpa jemu dalam kerangka mengkhianati Islam.
Mereka secara halusnya berusaha mengubah wajah dan epistemologi Islam berdasarkan kerangka pemikiran sekular. Asas Islam yang berpegang kepada kalimah tauhid menjadi semakin liberal dan plural walaupun muafakat ulama menolaknya sebagai suatu gerakan yang boleh memudaratkan akidah. Nilai akidah yang mereka perjuangkan sama sekali bertentangan dengan apa yang sentiasa dimomokkan oleh asas falsafah liberal itu sendiri, iaitu toleransi. Bila dikaitkan dengan Islam mereka lupa bahawa toleransi adalah nilai kesejagatan yang patut dipatuhi oleh setiap orang, kecuali dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan prinsip.
Ideologi barat yang bertolak dari perspektif positivisme sebenarnya sudah terlalu berkecamuk dengan prejudis dan ruang ilmiah yang telah mereka asaskan, termasuklah bagaimana salah seorang calon presiden Amerika Syarikat, hartawan Donald Trump berkempen menghalang Islam. Akhirnya, Donald Trump berhadapan dengan sekatan oleh beberapa negara tertentu, termasuklah Britain. Keceluparan Trump membangkitkan lebih banyak permusuhan dan bukan serasi dengan nilai demokrasi yang diperjuangkan sebagai prinsip utama Amerika Syarikat.
Seharusnya pihak yang ingin memperjuangkan kebebasan sedar tidak akan terlahir kebebasan mutlak kerana setiap kebebasan yang ada mestilah bersandarkan kepada tanggungjawab dan nilai tertentu. Kumpulan bekas pegawai tinggi kerajaan yang menggelarkan pertubuhan mereka sebagai G 25 perlu sedar dan insaf, kebebasan tanpa had boleh menjerat diri sendiri, kerana kebebasan mutlak boleh membunuh nilai-nilai kemanusiaan. Kebebasan tanpa had menyebabkan manusia tergelincir daripada tujuan hidup sebenar kerana manusia sentiasa dibelenggu oleh hawa nafsu dan ketamakan sendiri. Manusia tidak mempunyai kebebasan mutlak dalam membuat pilihan, kerana setiap pilihan ada kelebihan dan risikonya.
Seperti dijelaskan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani “Manusia diciptakan Allah untuk beribadah dan patuh kepada suruhan-Nyq dan meninggalkan larangan. Tidaklah manusia itu diciptakan tanpa tujuan melainkan untuk beribadah kepada-Nya.” Ertinya manusia tidak mempunyai kebebasan mutlak, termasuk bebas berfikir dan melakukan apa sahaja yang disukainya walaupun atas kerelaan sendiri. Berkhalwat sampai bila-bila pun akan tetap haram dan wajib dicegah kerana ia mengundang zina. Bayangkanlah jika tanpa penguatkuasaan, kes kelahiran bayi tanpa sah akan menjadi lebih menakutkan. Mungkinkah dengan penghapusan JAKIM dan pindaan peraturan syariah akan menyebabkan seks tanpa perkahwinan sebagai suatu budaya yang sah sebagaimana berlaku di Barat, boleh bersekedudukan tanpa perkahwinan dan diterima sebagai satu nilai institusi kekeluargaan.
Atas alasan itu tidak ada sebab G25 perlu disokong kerana kemudaratan cadangan boleh menghancurkan cara hidup Islam. Jarum orientalis sudah menebal dalam diri mereka sehingga berjaya membentuk akar pemikiran yang bertentangan dengan Islam. Islam bukan sekadar agama, Islam adalah satu kaedah menjalani hidup bermoral dan bertamadun untuk manusia berdasarkan prinsip amar makruf nahi mungkar. G 25 sudah menunjukkan bentuk-bentuk kemungkaran yang akhirnya boleh menjatuhkan martabat manusia sendiri, termasuklah pengagumnya walaupun merasakan diri amat berpengalaman dan berpendidikan.
OLEH MOHD SHAUKI ABD MAJID
Sumber daripada www.wasatiyyah.my
KOMEN