PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti kunjung-mengunjung dan menziarahi kubur pada Aidilfitri tahun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM tidak akan mengeluarkan dasar atau prosedur operasi standard (SOP) tambahan menjelang Aidilfitri ini.
Katanya, sambutan hari raya tahun ini perlu dibuat di luar kelaziman dan berbeza.
“Memang ada kelaziman kunjung-mengunjung dan ziarah kubur setiap kali menjelang hari raya.
“Tetapi, kali ini di luar kelaziman dan kita kena lihat cara bagaimana kita merayakan Aidilfitri kali ini dengan cara tiada kunjung-mengunjung atau menziarahi kubur.
“Apa yang penting kita kena putuskan jangkitan dan kalau boleh beraya secara tertutup iaitu sesama keluarga saja dan kurangkan aktiviti berkunjung dan kalau boleh jangan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di KKM, Putrajaya, pada 18 Mei.
Beliau berkata, KKM bukan mengeluarkan dasar tetapi lebih berbentuk nasihat kepada individu dan keluarga supaya jangan amalkan kunjung-mengunjung dan menziarahi kubur pada tahun ini. – Harian Metro
KOMEN