ALOR GAJAH 18 Mac – Upacara yang boleh memesongkan akidah umat Islam yang dilakukan Raja Bomoh dengan ‘memagar’ Malaysia daripada ancaman luar khususnya Korea Utara tidak wajar ditularkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan menularkan apa yang dilakukan Raja Bomoh bersama-sama pengikutnya itu secara tidak langsung telah mempromosikan mereka.
Menurutnya, menularkan video serta berita berkenaan secara tidak langsung telah membantu individu berkenaan mencapai matlamatnya untuk menjadi lebih popular.
“Ada banyak lagi agenda negara yang lebih besar boleh dikongsikan dan bukannya perkara tidak bermanfaat seperti itu.
“Jika kita menyebarkan aktiviti ini, dia yang akan mendapat ‘milage’.. sedangkan kita boleh berfikir sama ada upacara berkenaan logik atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Berkelompok Cawangan UMNO Bahagian Alor Gajah, di sini malam tadi.
Asyraf Wajdi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO memberitahu, pihak berkuasa agama di peringkat Pusat tidak ada kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan bagi menghalang tindakan seumpama itu kerana ia tertakluk kepada kuasa Jabatan Agama Islam negeri.
Video dan pelbagai rakaman gambar aksi terbaharu individu yang menggelarkan dirinya Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin baru-baru ini tular di media sosial kerana tindakan ‘memagar’ negara menggunakan buluh, teropong dan buah kelapa.
Aksi itu dipercayai dilakukan Pengasas Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia berkenaan ekoran ketegangan hubungan diplomatik membabitkan Malaysia dan Korea Utara berikutan kematian abang kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), bulan lalu.- https://www.utusan.com.my
KOMEN