Home » Langit Terbuka » Jangan tertipu pakej murah umrah

Jangan tertipu pakej murah umrah

KUALA LUMPUR 27 Dis. – Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengingatkan umat Islam yang ingin menunaikan umrah supaya tidak tertipu dengan pakej murah yang ditawarkan syarikat atau orang tengah.

Naib Presiden Umrah dan Haji MATTA Shahrulnezam Mohd Daud berkata untuk mengelak daripada tertipu, bakal jemaah eloklah berurusan secara terus dengan syarikat yang diberi Lesen Khas Umrah.

“Lebih 200 syarikat pengembaraan yang menganggotai  MATTA memiliki Lesen Khas Umrah dan mereka ini menawarkan pakej umrah di seluruh negara.

“Orang ramai digalakkan mengunjungi syarikat ini untuk membuat perbandingan tentang harga pasaran dan berwaspadalah kalau ada sesiapa yang menawarkan harga pada yang tidak munsabah murahnya.

“Polis perlulah menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang terhadap individu yang bertindak sebagai orang tengah bagi menipu jemaah, manakala Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pula perlu bertindak terhadap pengendali perjalanan berlesen yang menipu pelanggan mereka,” katanya di sini, hari ini.

Beliau  juga mengingatkan dan memberi amaran kepada anggota MATTA bahawa mereka yang terlibat melakukan penipuan akan dipecat daripada persatuan itu.

Shahrulnezam berkata beliau sedih dengan laporan bahawa 453 jemaah umrah Malaysia tidak dapat pulang ke tanah air dari Tanah Suci  sejak 22 Dis.

Sementara itu, Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang berkata tindakan segera akan diambil terhadap mana-mana anggota persatuan itu yang didapati terlibat menipu orang ramai.

Beliau  menasihati rakyat Malaysia supaya belajar memberi bayaran sewajarnya bagi perkhidmatan yang diterima kerana tiada istilah percuma dalam hal itu.

“Jemaah yang mengharapkan sebahagian daripada bayaran bagi pakej perjalanan mereka dibiayai melalui ‘derma’ akan menanggung masalah  besar apabila derma yang diharapkan itu tidak kunjung tiba,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *