Home » Langit Terbuka » Jangan terlalu beremosi sehingga rendahkan ilmu disampaikan ulama

Jangan terlalu beremosi sehingga rendahkan ilmu disampaikan ulama

Menurut Mufti Kedah, masyarakat yang memahami peranan ulama tidak akan bertindak sedemikian kerana perbuatan itu adalah tidak wajar dilakukan sesiapa. - Foto Karangkraft

ALOR SETAR – Pengguna media sosial diminta tidak melepaskan perasaan atau bersikap terlalu emosi sehingga merendahkan ilmu atau pandangan disampaikan ulama.

 

 

Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, ini kerana, Allah SWT meletakkan ahli agama dan ulama di tempat yang tinggi serta perlu dihormati masyarakat terutama umat Islam.

 

“Dengan kemudahan media sosial yang ada hari ini, orang ramai diminta tidak sewenang-wenangnya melepaskan perasaan dengan terlalu emosi sehingga tidak dapat membezakan siapa yang menjadi sasaran mereka.

 

“Seperti kata ulama besar, Hasan al-Basri iaitu jika tidak kerana jasa ulama, nescaya tiada bezanya antara manusia dan haiwan ternakan,” katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Zakat Ayam Bismi di sini, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Fadzil berkata, masyarakat yang memahami peranan ulama tidak akan bertindak sedemikian kerana perbuatan itu adalah tidak wajar dilakukan sesiapa.

 

“Tindakan tidak lagi menghormati pandangan ilmuan agama dan ulama mungkin menjadi antara tanda akhir zaman serta dunia semakin hampir dengan kiamat.

 

“Ilmuan agama dan ulama dikurniakan Allah SWT mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan diangkat darjat mereka bagi dimuliakan serta sepatutnya menjadi rujukan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sikap segelintir netizen yang sering mengkritik ilmu yang disampaikan ahli agama dan ulama di media sosial.

 

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Presiden Bismi Empire Jaffri Ahmad, menyerahkan zakat perniagaan 2021 syarikatnya berjumlah RM370,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Datuk Zakaria Othman.

 

Zakaria berkata, kutipan zakat Kedah bagi 2021 berjumlah RM242 juta, meningkat RM14 juta berbanding 2020.

 

“Walaupun kita tidak mencapai sasaran 2021 iaitu RM244 juta, namun kita hargai dan mengucapkan terima kasih kepada semua pembayar zakat di Kedah.

 

“Kita akui berlaku penurunan kepada zakat perniagaan tahun lalu kerana banyak syarikat terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – Utusan Malaysia

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *