IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah perbuatan menyuntik minda dengan racun kebencian dan menyemai jiwa dengan semangat permusuhan, amat membahayakan, apatah lagi apabila ia dilakukan atas nama kaum dan agama.
Baginda bertitah, peristiwa hitam dan berdarah di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu, jelas membuktikan elemen kejutan yang boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja kesan daripada sikap kebencian.
“Peristiwa itu turut membuktikan, terbina watak zalim yang melampau, akibat kerosakan minda dan kerosakan jiwa, minda dan jiwa yang berprasangka buruk, yang dipengaruhi prejudis membara, akibat salah faham dan salah persepsi melalui indoktrinasi yang menyuntik racun kebencian dan menyemai semangat permusuhan.
“Peristiwa itu hendaklah dijadikan pengajaran penting kepada rakyat di negara ini,” titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 Perak, di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Sultan Nazrin bertitah, sejak 62 tahun lalu, Malaysia sudah dimasyhurkan sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat dengan barisan pemimpin yang mengasaskan pembentukan sebuah negara merdeka.
“Mereka menerima hakikat, bahawa kestabilan, keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan negara bergantung pada kejayaan menyemai semangat kerjasama antara kaum, dan memupuk semangat saling menghormati antara agama,” titah baginda.
Baginda bertitah, melalui persefahaman yang terjalin dan sikap saling menghormati yang diamalkan dalam kalangan rakyat, Malaysia muncul di pentas dunia sebagai sebuah negara yang stabil, aman, makmur dan sejahtera yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama serta mengamalkan pelbagai budaya tetapi hidup secara rukun penuh harmoni.
“Perbuatan oleh mana-mana juga pihak yang mensensasikan isu kaum dan isu agama, dikhuatiri akan menyalakan api persengketaan yang bakal membakar hangus sebuah keamanan, sebuah perpaduan dan sebuah kerukunan, yang telah dibina oleh generasi terdahulu.
“Demi kestabilan negara, keharmonian hubungan antara kaum dan demi kerukunan hidup antara agama, kata-kata dan perbuatan yang boleh mencetuskan persengketaan antara kaum dan antara agama hendaklah dielakkan,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan EXCO kerajaan negeri, semua ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kalangan kerajaan dan pembangkang yang masing-masing mempunyai peranan, serta perlu berperanan secara konstruktif dalam semangat saling lengkap melengkapi supaya perkhidmatan terbaik dapat dinikmati oleh rakyat.
Baginda turut menyuarakan empat kebimbangan utama dalam kalangan warga dunia iaitu membabitkan tadbir urus yang telus, pengangguran, ketidaksamaan sosial dan kemiskinan.
Titah baginda, keyakinan rakyat terhadap sesebuah kerajaan bergantung pada keupayaan menangani kebimbangan berkenaan, melalui kebijaksanaan kepimpinan yang berupaya melaksanakan program secara realistik, yang manfaatnya dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat.
“Dalam menyusun langkah untuk mengutuhkan tadbir urus negeri, Kerajaan Beta akan menerima pakai Pelan Anti Rasuah Nasional. Gejala rasuah wajib diperangi secara tegas, kerana rasuah membebankan rakyat dan rasuah terbukti telah meruntuhkan banyak negara dan tamadun.
“Sesungguhnya, golongan pemimpin berada di barisan paling utama untuk mempamerkan sebaik contoh, dan untuk membuktikan kesungguhan memerangi rasuah, tadbir urus yang bersih, cekap, amanah, lagi telus adalah penting untuk meyakinkan rakyat bahawa pemimpin yang telah diberikan kuasa, mengutamakan kepentingan rakyat,” titah baginda. – Berita Harian
KOMEN