CYBERJAYA – Ahli politik dan pemimpin kerajaan tidak sepatutnya menyalahkan laporan media jika mereka sendiri memberikan maklumat yang tidak tepat, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.
Naib Presiden Parti Amanah Negara itu berkata pemimpin kerajaan dan ahli politik harus memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada media adalah tepat supaya persepsi masyarakat terhadap kerajaan tidak negatif.
“Saya selalu beritahu kepada kawan-kawan saya, kalau kita bercakap mengenai perkara yang kita sendiri tidak tahu, itulah yang mendedahkan kepada salah laporan atau ada ruang orang ‘spin’ berita atau kenyataan yang kita buat,” katanya pada sesi jalinan mesra bersama pengamal media termasuk dari Kelab Media Putrajaya, di sini semalam.
Mahfuz yang baharu mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia pada 2 Julai lepas, bagaimanapun berkata pihak media juga harus berani dalam membuat laporan bagi memastikan pengurusan kerajaan baik dan telus.
“Pihak media mesti buang ketakutan kepada orang politik, mesti berani lapor apa yang dirasakan tidak betul dilakukan orang politik,” katanya. – BERNAMA
KOMEN